AM

KERAJAAN SASAR 200,000 INDIVIDU BEBAS BANKRUP TAHUN INI - AZALINA

23/06/2025 03:50 PM

SHAH ALAM, 23 Jun (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan sebanyak 200,000 individu dapat dibebaskan daripada belenggu kebankrapan menjelang akhir tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata setakat ini, kira-kira 186,000 individu telah dilepaskan daripada masalah tersebut.

Beliau berkata jumlah berkenaan diperoleh menerusi rekod Jabatan Insolvensi Malaysia hasil pelaksanaan pelbagai usaha kerajaan dalam memberi peluang kedua kepada golongan terjejas untuk meneruskan kehidupan.

“Kami berharap menjelang akhir tahun ini, jumlah keseluruhan individu berjaya dilepaskan daripada status kebankrapan dapat mencapai angka 200,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program Perdana Literasi Kewangan Peringkat Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) 2025-Jabatan Insolvensi Malaysia 2025 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam hari ini.  

Turut hadir Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Shabuddin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 berkata Dasar Peluang Kedua akan diperluas kepada golongan muda berusia 40 tahun dan ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000 bermula tahun lepas.

Azalina berkata sebanyak 25,578 kes kebankrapan direkodkan pada 2021 hingga Mei 2025 membabitkan individu berumur bawah 25 tahun hingga 55 tahun dan ke atas, dan daripada jumlah berkenaan sebanyak 10,145 kes kebankrapan membabitkan golongan umur 35 hingga 44 tahun.

Beliau berkata berdasarkan jantina, lelaki direkodkan mengalami kebankrapan lebih tinggi berbanding wanita iaitu sebanyak 18,590 orang bagi tempoh sama.

Sementara itu, Azalina berkata program hari ini adalah satu daripada langkah proaktif Kerajaan MADANI dalam membawa undang-undang dan ilmu berkaitan pengurusan serta literasi kewangan kepada rakyat khususnya pelajar institusi pengajian yang bakal memasuki alam pekerjaan.

Kira-kira 1,000 mahasiswa IPTA dan IPTS terlibat dalam program yang berlangsung sehari itu. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan