AM

HANYA 23.4 PERATUS BELIA TERLIBAT DALAM SEKTOR PERTANIAN DI PERAK

23/06/2025 03:39 PM

GOPENG, 23 Jun (Bernama) -- Hanya 23.4 peratus individu dalam kalangan belia berumur 15 hingga 45 tahun menyahut cabaran untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian di Perak pada 2023, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata peratusan tertinggi yang terlibat dalam sektor berkenaan adalah dalam kalangan mereka yang berumur 60 tahun ke atas iaitu sekitar 46.6 peratus, diikuti kelompok usia 46 tahun hingga 59 tahun sebanyak 30 peratus.

“Jurang penyertaan antara generasi tua dan muda ini bukan hanya membimbangkan, malah membayangkan masa depan yang rapuh sekiranya tiada usaha drastik dilakukan.

“Kekurangan tenaga kerja muda, kesukaran dalam menerima dan mengadaptasi teknologi moden serta persepsi terhadap kerjaya dalam sektor ini menjadi penghalang utama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 di Dewan Bougainville, Bangunan Pengurusan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun serta Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Perak Mohd Ridauddin Masud.

Mohd Uzir berkata usaha meremajakan sektor pertanian di Perak sangat diperlukan demi kelangsungan dan daya saing sektor itu dalam jangka masa panjang.

“Masa depan sektor pertanian bergantung kepada sejauh mana kita berjaya menarik kembali minat generasi muda untuk kembali ke ladang dan sawah bukan hanya sebagai pekerja, tetapi peneraju transformasi agroindustri negara,” katanya.

Selain itu, Mohd Uzir berkata Perak mencatatkan jumlah nilai jualan hasil pertanian sebanyak RM15.98 bilion sepanjang 2023.

Beliau berkata daerah Manjung mencatatkan nilai jualan tertinggi iaitu sekitar RM2.86 bilion, diikuti Larut Matang dengan RM1.97 bilion serta Batang Padang kira-kira RM1.92 bilion.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata luas kawasan bertanam secara keseluruhan di Perak merekodkan sekitar 497,000 hektar yang merangkumi 188,800 hektar hak pegangan individu serta 308,200 hektar hak pegangan pertanian pertubuhan.

“Hilir Perak mencatat jumlah keluasan bertanam terbesar iaitu seluas 102,800 hektar diikuti Perak Tengah sebanyak 72,200 hektar, Batang Padang (62,500 hektar) dan lain-lain lagi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan