EKONOMI

CHINA UBAH STRATEGI, CARI PELUANG BAHARU DI TENGAH PERGESERAN PERDAGANGAN DENGAN AS

23/06/2025 04:15 PM

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

BEIJING, 23 Jun (Bernama) -- Daripada terus menumpukan perhatian kepada pertikaian perdagangannya dengan Amerika Syarikat (AS), China kini mengalih fokus kepada usaha memperkukuh hubungan dengan rakan dagang yang lebih pragmatik, termasuk negara membangun, dalam usaha merancakkan semula perdagangan dan pelaburan.

Beijing dilihat giat meneroka pasaran baharu dan peluang eksport sebagai langkah mengurangkan impak berpanjangan daripada perang tarif dengan Washington.

Pendekatan ini turut merangkumi pembentukan hubungan ekonomi baharu dengan Asia Tenggara dan Asia Tengah, negara-negara Teluk, Afrika, Australia, New Zealand dan Amerika Latin, strategi lindung nilai terhadap risiko kelembapan ekonomi global.

Usaha terkini China untuk memperluaskan jaringan kerjasama ini turut disedari oleh 119 wartawan dari seluruh dunia yang menyertai program China International Press Communication Centre (CIPCC) selama tiga bulan di ibu negara China.

Melalui pemerhatian, pihak berkuasa China yang prihatin terhadap kesejahteraan 1.4 bilion rakyatnya, semakin menyedari keperluan untuk memanfaatkan segala ruang ekonomi yang ada demi kemakmuran masa depan.

Perkembangan ini dapat dilihat dengan ketara sejak China mempertingkat penyertaan dalam pelbagai sidang kemuncak, forum dan ekspo perdagangan, khususnya selepas pengumuman tarif baharu oleh AS pada April lepas.

 

Diplomasi Ekonomi yang Semakin Aktif

 

Antara acara penting yang menyokong usaha ini termasuk Persidangan Pusat Mengenai Kerjasama dengan Negara Jiran, yang menetapkan hala tuju keterlibatan serantau, Persidangan Pelaburan Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan, dan Forum Media China-ASEAN di Luoyang.

China turut menjadi tuan rumah kepada Forum Menteri China-CELAC pada Mei bagi memperkukuh hubungan dengan Amerika Latin, diikuti Ekspo Ekonomi dan Perdagangan China-Afrika di Changsha pada Jun.

Strategi yang berkembang ini membuka ruang baharu kepada ASEAN dan Rangka Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dianggotai 15 negara termasuk Malaysia, untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam perdagangan global.

Sejak Presiden AS Donald Trump, mengenakan tarif tinggi terhadap China, Beijing mula mengambil pendekatan menghindar daripada Washington dan memfokus kepada platform pelbagai hala, koridor perdagangan baharu serta kerjasama Selatan-Selatan.

China kini giat memperkukuh keterlibatan dengan Asia Tenggara, negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Afrika, Asia Tengah dan Amerika Latin.

Baru-baru ini, China juga berusaha mengeratkan hubungan dengan New Zealand, yang akan melaksanakan pengecualian visa secara percubaan pada November untuk pelancong China yang memiliki visa sah dari Australia.

 

Kelebihan ASEAN dalam Peralihan Global

 

Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur bulan lepas, Forum Kerajaan Tempatan RCEP di Anhui serta kerjasama melalui platform ASEAN dengan negara GCC yang kaya dengan minyak menunjukkan orientasi baharu China yang lebih terbuka kepada rantau Asia Tenggara.

Dalam persekitaran global yang sedang berubah ini, ASEAN dan RCEP berada dalam kedudukan strategik yang menguntungkan, lebih-lebih lagi apabila dagangan China dengan ASEAN telah mengatasi nilai dagangannya dengan AS dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Dengan RCEP kini dikuatkuasakan sepenuhnya, momentum untuk memperkukuh perdagangan intra-Asia semakin meningkat. Bank Pembangunan Asia (ADB) yang berpangkalan di Manila mengunjurkan bahawa RCEP mampu menjana pendapatan serantau melebihi US$240 bilion setahun menjelang 2030.

China turut menyatakan komitmennya terhadap kerangka kerja yang diterajui ASEAN, memuji pendirian berkecuali dan peranan pusat blok itu dalam urusan serantau.

Pelaburan China dalam pelabuhan, infrastruktur teknologi, semikonduktor dan tenaga bersih di Asia Tenggara mencerminkan arah perubahan strategik ini.

 

Meninjau Peluang di Luar Lingkungan Barat

 

Peralihan ini menjadi signifikan bukan hanya dilihat daripada perubahan haluan China, tetapi juga peluang bagi negara membangun untuk menyeimbangkan persaingan kuasa besar dengan manfaat pelbagai hala.

Melalui penyertaan aktif dalam forum seperti CELAC (Komuniti Negara Amerika Latin dan Caribbean) serta pemantapan kerjasama ekonomi dengan Afrika dan ASEAN, China memberi lebih banyak ruang kepada Selatan Global untuk memainkan peranan dalam membentuk aliran perdagangan masa depan.

Tatkala AS terus mengenakan tarif baharu, mengehadkan teknologi cip dan akses kepada logam nadir bumi, China dilihat mengurus risikonya dengan memilih rakan dagang yang lebih cenderung kepada kerjasama dua hala yang saling menguntungkan.

Seorang pegawai Kementerian Luar China memetik peribahasa Cina yang relevan: “Kemenangan yang dikongsi lebih berharga daripada kejayaan yang diraih sendirian”.

Ia mencerminkan bagaimana China berjaya memanfaatkan sumber manusia melebihi 700 juta tenaga kerja melalui kegigihan, faktor yang meletakkan negara itu sebagai penanda aras dalam sektor pembuatan global.

 

Peranan Malaysia dalam Lanskap Dagangan Baharu

 

Bagi Malaysia, peralihan dasar perdagangan China ini dilihat membuka peluang strategik dan tanggungjawab baharu.

Dengan kedudukannya yang strategik, ekonomi pelbagai sektor dan infrastruktur dagangan yang matang, Malaysia berada dalam posisi ideal untuk menarik pelaburan China yang beralih keluar dari AS, termasuk dalam rantaian bekalan dan sektor teknologi.

Sidang kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur serta penglibatan aktif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin China dan Teluk menandakan anjakan penting, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia sebagai penghubung serantau.

Malaysia boleh menarik lebih banyak pelaburan dalam bidang pembuatan dan teknologi. Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia juga memikul tanggungjawab untuk menggalakkan perpaduan dan keterbukaan dalam kalangan negara anggota.

Namun, ketegangan perdagangan AS-China tetap membawa risiko terhadap kestabilan serantau dan aliran dagangan global.

Pasaran global sebelum ini menunjukkan tanda pemulihan selepas perbualan telefon yang konstruktif pada 5 Jun antara Trump dan Presiden China Xi Jinping.

Kedua-dua negara telah bersetuju pada 12 Mei untuk melaksanakan penangguhan tarif selama 90 hari. Trump turut menyuarakan minat untuk melawat Beijing, manakala Xi menekankan kepentingan saling menghormati.

Pemerhati berpendapat bahawa tempoh ‘bertenang perdagangan’ ini hanyalah sementara. Namun, hala tuju China ke arah ASEAN, RCEP dan Selatan Global yang berpaksikan dasar menang-menang atau Shuāngyíng, dijangka akan terus diperkukuhkan.

Untuk Malaysia, ini adalah saat strategik, ia bukan sahaja untuk meraih manfaat daripada perubahan aliran dagangan, malah mencorakkan masa depan yang lebih seimbang dan inklusif.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan