AM

HARI VETERINAR SEDUNIA 2025 RAI SUMBANGAN PROFESION VETERINAR

23/06/2025 05:06 PM

PUTRAJAYA, 23 Jun (Bernama) -- Sambutan Hari Veterinar Sedunia 2025 yang berlangsung hari ini di Dewan Serbaguna Wisma Tani, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bertujuan menghargai peranan dan sumbangan doktor veterinar dalam kesihatan haiwan, keterjaminan makanan dan kesihatan awam negara.

Menurut KPKM dalam kenyataan, majlis disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementerian itu Datuk Badrul Hisham Mohd yang turut menekankan kepentingan kerjasama antara pelbagai pihak dalam memastikan perkhidmatan veterinar yang berkualiti tinggi untuk kesejahteraan manusia, haiwan dan alam sekitar.

“Dua tokoh telah menerima Anugerah Veterinawan Cemerlang pada majlis itu iaitu Datuk Dr. Abd Aziz Jamaluddin bagi kategori Perkhidmatan Veterinar dan Prof. Emeritus Datin Paduka Setia Datuk Dr. Aini Ideris bagi Pendidikan Veterinar atas sumbangan kolaboratif dan kecemerlangan berterusan dalam bidang masing-masing,” menurut KPKM.

Kenyataan itu memaklumkan Abd Aziz diberi penghargaan atas usaha menyeluruh beliau dalam memperkukuh kesihatan haiwan, keterjaminan makanan dan kesihatan awam veterinar manakala Aini diiktiraf atas kepimpinan dan sumbangan besar dalam pendidikan veterinar di peringkat nasional.

Turut diadakan sesi ceramah oleh Aini bertajuk “Enhancing One Health Strategy to Global Challenges” yang menyorot kepentingan pendekatan menyeluruh dalam menangani cabaran kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar secara serentak.

Sambutan tahun ini bertemakan “Animal Health Takes A Team” menekankan keperluan kolaborasi antara doktor veterinar, pihak industri dan komuniti dalam menjaga kesihatan haiwan serta keselamatan makanan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2000, Hari Veterinar Sedunia diraikan pada Sabtu terakhir bulan April setiap tahun sebagai penghormatan kepada profesion veterinar yang memainkan peranan penting dalam kesihatan global.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan