DUNIA

PASARAN GETAH DITUTUP RENDAH BERIKUTAN PETUNJUK SERANTAU YANG LEMAH

23/06/2025 06:36 PM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup rendah hari ini selepas diseret oleh petunjuk yang lebih lemah dari pasaran getah serantau, kata seorang peniaga. 

Sentimen pasaran seterusnya menyusut oleh ketidakpastian dalam ekonomi global susulan konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah, harga minyak mentah yang bercampur-campur dan data ekonomi China yang tidak bermaya.

"Saham-saham Asia jatuh pada hari Isnin selepas selera risiko terjejas berikutan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas tapak nuklear Iran pada hujung minggu, yang mana ia berpotensi mencipta konflik yang lebih meluas di Timur Tengah," katanya kepada Bernama. 

Harga minyak mentah Brent melonjak dalam urus niaga awal waktu Asia hari ini selepas serangan AS meningkatkan kebimbangan ke atas gangguan bekalan tetapi ia menurun sedikit kemudiannya.

Sementara itu, pendapatan fiskal China merosot 0.3 peratus dari tahun ke tahun dalam lima bulan pertama 2025, di tengah-tengah tekanan ekonomi berikutan tarif AS dan ketidakpastian perdagangan global.

"Bagaimanapun, kerugian selanjutnya dalam pasaran getah telah dihadkan oleh penyusutan nilai ringgit berbanding dolar US," katanya. 

Pada  3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan bahawa harga SMR 20 menurun sebanyak 3.5 sen kepada 700.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal merosot sebanyak 0.5 sen kepada 588.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan