AM

FATWA MENGENAI LIBERALISME KEKAL SAH, TERPAKAI PADA INDIVIDU ISLAM - MUFTI SELANGOR

23/06/2025 08:03 PM

SHAH ALAM, 23 Jun (Bernama) -- Pemikiran liberalisme dan pluralisme agama adalah bertentangan dengan ajaran Islam sebenar dan boleh membawa kepada kesesatan akidah serta kecelaruan dalam kalangan masyarakat Muslim, kata Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir.

Beliau dalam kenyataan berkata walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang menyentuh pemakaian fatwa bertarikh 31 Julai 2014 itu tidak terpakai kepada Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia, fatwa berkenaan kekal sah dan terpakai terhadap individu beragama Islam.

“Keputusan itu juga tidak menafikan keabsahan fatwa terhadap individu beragama Islam serta larangan ke atas mana-mana individu Islam daripada menganut fahaman pluralisme dan liberalisme atau apa-apa fahaman lain yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.

Beliau berkata fatwa itu dikeluarkan mengikuti tatacara yang menepati kehendak hukum syarak dan prinsip maqasid syariah antaranya menjaga agama, akal dan keturunan.

“Jabatan ini berdiri teguh bersama Majlis Agama Islam Selangor dan menjunjung kasih menyokong titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang menzahirkan kekecewaan dan dukacita baginda dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang menyentuh pemakaian fatwa bertarikh 31 Julai 2014 tidak terpakai kepada SIS Forum Malaysia atas faktor ia sebuah pertubuhan, persatuan, syarikat atau institusi, sebaliknya hanya terpakai kepada individu sahaja.

“Jabatan ini menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan keputusan kehakiman yang dibuat Mahkamah Persekutuan sebagai institusi kehakiman tertinggi dalam sistem perundangan negara,” katanya.

Dalam hal itu, Anhar menasihati umat Islam agar tidak terpengaruh dengan idea songsang memperjuangkan liberalisme dan pluralisme agama atas nama kebebasan atau hak asasi manusia yang disalurkan di media sosial, penulisan serta forum terbuka.

Beliau berkata hukum Islam yang sebenar perlu dijadikan sebagai neraca dan rujukan bukan berkiblatkan logik akal semata-mata kerana dibimbangi akan menjejaskan akidah.

Jabatan itu turut menyatakan komitmen menyokong usaha pihak berwajib, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan dalam mengawasi dan menegur mana-mana ajaran, fahaman atau ideologi menyeleweng yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Sebelum in, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa SIS Forum Malaysia tidak lagi menggunakan perkataan ‘Islam’ dalam sebarang bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan pertubuhan tersebut kerana penyalahgunaan istilah itu boleh mengelirukan masyarakat Islam. 

Pada 19 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan SIS Forum Malaysia dan pengasas bersamanya Zainah Mahfoozah Anwar dalam tindakan mereka yang mencabar fatwa dikeluarkan pada 2014 oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu menyeleweng daripada ajaran Islam.

Panel empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 3-1 mengetepikan fatwa berkenaan sejauh mana ia terpakai kepada syarikat dan institusi.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan