AM

PROJEK PEMBANGUNAN: PM MAHU SEGALA ISU TEKNIKAL PELBAGAI AGENSI DISELESAI SEGERA

23/06/2025 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu segala isu teknikal membabitkan pelbagai agensi kerajaan berkaitan projek pembangunan negara diselesaikan segera bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.

Menerusi hantaran di platform X, Anwar berkata isu membabitkan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, kerajaan negeri, agensi pelaksana dan pemilik projek itu perlu diselesaikan menerusi Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

“Kerajaan MADANI mesti bergerak lebih proaktif, bertindak dengan kecekapan dan berfokus pada penyelesaian yang tuntas. Setiap sen peruntukan Rancangan Malaysia wajib dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat," kata beliau selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara Bil 1/2025 hari ini.

Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu hasil Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri, penambahbaikan pelaksanaan projek oleh Jabatan Kerja Raya dan pelaksanaan sekolah vertikal di bandar utama.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata isu kelewatan projek dan kerenah pentadbiran yang diwarisi sejak era 1980-an seharusnya tidak berulang.

 “Kita tidak punya ruang untuk mengulangi kegagalan yang sama. Masa tidak menunggu kita dan rakyat pula menuntut tindakan, bukan alasan,” kata beliau.

Menyentuh mengenai keperluan untuk mendepani realiti pembangunan bandar yang semakin padat, Anwar berkata kerajaan komited memperkenal pendekatan baharu dalam penyediaan infrastruktur pendidikan melalui model sekolah vertikal di lokasi seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang.

“Dengan dukungan pemaju swasta, Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pendidikan akan bergandingan erat untuk menjayakan inisiatif ini agar akses kepada pendidikan berkualiti kekal terjamin buat anak-anak warga kota walau di tengah keterbatasan ruang," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan