EKONOMI

PENANG PORT LABUR RM37 JUTA BELI EMPAT KREN RTG HIBRID BAGI TINGKAT KECEKAPAN OPERASI

23/06/2025 08:53 PM

GEORGE TOWN, 23 Jun (Bernama) -- Penang Port Sdn Bhd (Penang Port) telah melabur sebanyak US$7.88 juta (RM37 juta) dalam memperoleh empat kren gantri tayar getah (RTG) hibrid baharu daripada Mitsui E & S Co Ltd, Jepun, bagi meningkatkan kecekapan operasi dan menggalakkan kemampanan alam sekitar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Penang Port berkata penambahan empat RTG hibrid baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 11 unit hibrid, sebagai sebahagian daripada armada RTG 31 unit dan peningkatan ketara itu menekankan komitmennya terhadap inovasi.

Penang Port mula membeli RTG hibrid menerusi pembelian tiga unit pada 2019 sebelum menambah empat unit lagi pada 2020.

“Kren RTG hibrid memainkan peranan penting dalam operasi pelabuhan moden dengan memuatkan dan menyusun kontena antara mod dengan lebih cekap dan tepat. Apa yang membezakan mesin ini ialah ia menggunakan kedua-dua kuasa bateri diesel dan elektrik. 

“Kami menjangkakan pengurangan sebanyak 50 peratus dalam penggunaan bahan api dan pelepasan dengan tambahan kren hibrid ini, sekali gus penjimatan kos yang ketara berbanding dengan RTG berkuasa diesel,” kata kenyataan itu. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sasedharan Vasudevan berkata pelaburan itu menekankan komitmen Penang Port untuk meningkatkan kecekapan operasi sambil memupuk persekitaran pelabuhan yang lebih hijau dan mampan.

“Dengan RTG baharu ini, kami akan meningkatkan kapasiti pengendalian kontena dengan ketara, mengoptimumkan operasi dan yang paling penting dapat mengurangkan jejak karbon kami, ke arah masa depan yang lebih sihat.

“Ketibaan empat kren RTG hibrid mewakili kemajuan ketara untuk Penang Port dan komunitinya,” katanya.

Selain manfaat kepada operasi, inisiatif itu juga berkait rapat dengan matlamat kemampanan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Penang Port yang kukuh. 

Ia merangkumi aspek operasi pelabuhan, daripada meminimumkan jejak karbon dan menambah baik amalan pengurusan sisa kepada mengoptimumkan penggunaan sumber.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan