Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Penstrukturan semula tarif elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) Malaysia boleh menjadi mekanisme berpangaruh untuk mendorong perubahan tingkah laku dan mempercepat agenda rendah karbon negara, kata seorang pakar tenaga.
Beliau berkata hal itu boleh dicapai sekiranya penstrukturan semula itu digandingkan dengan teknologi pintar, insentif kewangan bersasar, serta mekanisme sokongan yang inklusif.
Pensyarah Kanan Universiti Teknikal Malaysia Melaka Prof Madya Dr Mohamad Fani Sulaima berkata pembaharuan tarif yang baru diperkenalkan, khususnya mekanisme Masa Penggunaan (TOU) dan sistem Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) perlu dilenagkapkan dengan usaha menyeluruh untuk menjadikan kecekapan tenaga lebih mudah dicapai dan diamalkan oleh semua isi rumah.
Beliau berkata meskipun inisiatif seperti Insentif Cekap Tenaga menyediakan asas yang baik namun, kejayaan jangka masa panjangnya amat bergantung kepada tahap kesedaran awam dan kemampuan dari segi kewangan.
Terutama bagi golongan berpendapatan rendah yang mungkin menghadapi kos pendahuluan yang tinggi untuk memiliki peralatan elektrik cekap tenaga, katanya.
“Menyepadukan pilihan pembiayaan sifar faedah dan kerjasama institusi tempatan seperti Dewan Undangan Negeri, majlis perbandaran, dan universiti boleh membantu mendorong perubahan tingkah laku.
“Semua saluran ini penting untuk membina kepercayaan dan menjayakan usaha jangkauan yang disasarkan,” katanya dalam kenyataan bertulis kepada Bernama.
Mengenai sistem tarif TOU, Mohamad Fani berkata keberkesanannya bergantung kepada keupayaan pengguna untuk membuat keputusan masa sebenar melalui automasi dan dorongan tingkah laku.
“Teknologi rumah pintar, platform pengurusan tenaga, dan pemberitahuan mengenai perubahan tarif kepada pengguna menerusi mudah alih boleh meningkatkan tahap respons dengan ketara.
“Rebat bagi pengguna yang mengalihkan pengunaan kepada luar waktu puncak boleh menggalakkan lagi pilihan tenaga yang lebih bijak tanpa menjejaskan keselesaan,” katanya.
Mohamad Fani berkata aplikasi seperti MyTNB juga wajar dipertingkatkan daripada sekadar untuk menyalurkan maklumat kepada platform pengurusan tenaga interaktif yang menyediakan data masa sebenar, tip kecekapan tenaga serta perbandingan dengan pengguna lain bagi menyokong keputusan yang lebih bijak.
Mengenai isu keadilan dalam pelaksanaan tarif baharu, Mohamad Fani berkata isi rumah yang besar -- terutama mereka dengan keperluan tenaga yang tidak dapat dielakkan -- mungkin terkesan secara tidak seimbang oleh struktur tarif rata.
“Pendekatan yang lebih adil adalah dengan memperkenalkan wajaran sosial dalam bentuk rebat atau peringkat tarif yang mengambil kira saiz isi rumah atau keperluan khas,” katanya.
“Menerusi pendidikan dan sokongan yang sewajarnya, isi rumah yang lebih besar boleh mendapat manfaat daripada TOU dengan menguruskan beban tenaga dengan lebih cekap,” katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan perlindungan untuk menangani keadaan isi rumah yang tidak dapat mencapai tahap penggunaan tenaga mencukupi di luar bandar dan masyarakat yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan dan sumber penting.
Beliau berkata tarif, subsidi bersasar dan pelaburan dalam infrastruktur perlu seiring dengan pembaharuan penetapan harga, di samping usaha untuk merapatkan jurang digital.
Dari segi peralihan tenaga, Mohamad Fani berkata model harga dinamik seperti AFA boleh menggalakkan corak penggunaan yang lebih bersih apabila diselaraskan dengan sumber tenaga boleh baharu (TBB) seperti solar.
"AFA membantu membentuk permintaan dan menyokong pengurangan penggunaan elektrik, terutamanya apabila disepadukan dengan sistem penyimpanan bateri. Ia mengukuhkan kestabilan grid dan pelaburan bagi TBB, menyumbang kepada sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional," katanya.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa tarif semasa sahaja mungkin tidak cukup kukuh untuk memacu penggunaan solar atas bumbung disebabkan oleh kadar pemeteran bersih yang tidak menarik dan proses prosedur yang perlahan.
“Kadar eksport terjamin dan kelulusan diselaraskan diperlukan untuk memperkasakan lebih banyak isi rumah dan perniagaan bagi mengambil bahagian dalam peralihan tenaga,” katanya.
Mohamad Fani turut menggesa model pembiayaan inklusif seperti pinjaman mikro, skim ‘pay-as-you-save’ dan inisiatif solar komuniti untuk membantu kumpulan berpendapatan rendah dan perusahaan kecil dan sederhana mengguna pakai teknologi bersih.
“Untuk menyokong rejim RP4, kita juga perlu melaksanakan dasar pelengkap seperti subsidi untuk peralatan yang cekap, audit tenaga mandatori dan standard bangunan hijau, yang kebanyakannya digariskan di bawah Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga 2024,” katanya.
Beliau berkata usaha ini, disokong oleh perkongsian awam-swasta, boleh membantu memastikan peralihan tenaga yang adil, inklusif dan sejajar dengan sasaran pelepasan sifar bersih Malaysia menjelang 2050.
-- BERNAMA