JENAYAH & MAHKAMAH

EMPAT ANGGOTA PENGGUAT KUASA DIREMAN LIMA HARI BANTU SIASATAN KES RASUAH

24/06/2025 12:32 PM

MELAKA, 24 Jun (Bernama) -- Empat anggota agensi penguatkuasaan direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM2,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap sepasang kekasih yang berdua-duaan dalam sebuah kenderaan di Jalan Melaka Mall di sini, 13 Jun lepas.

Perintah reman hingga 28 Jun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shiena Mohd Suleiman selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka hari ini.

Menurut sumber, keempat-empat lelaki itu ditahan antara 3.50 dan 4 petang semalam, ketika diarahkan menghadiri proses pengecaman di Pejabat SPRM Melaka.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan