JENAYAH & MAHKAMAH

KERAJAAN BERJAYA KETEPIKAN PERINTAH PENGEMBALIAN TANAH KEPADA SEMANTAN ESTATE

24/06/2025 07:07 PM

PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya dalam rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan tanah seluas 263.272 ekar (106.542 hektar), yang dikenali sebagai enklaf duta, dipulangkan kepada Semantan Estate (1952) Sdn Bhd.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Lee Swee Seng serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebulat suara membenarkan rayuan itu.

Hakim Lee memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 tidak pernah mengarahkan kerajaan Malaysia menyerahkan tanah itu kepada Semantan Estate.

"Justeru, tiada sebarang perintah yang perlu dilaksanakan. Jika tiada perintah pemindahan tanah kepada Semantan Estate, perintah untuk pengisytiharan tidak boleh dikuatkuasakan kerana ia hanya pengisytiharan hak pihak-pihak terlibat," katanya.

Hakim Lee yang menyampaikan keputusan mahkamah itu bagaimanapun, memutuskan bahawa Semantan Estate berhak mendapat pampasan secukupnya, yang akan dinilai dari 1956, iaitu ketika kerajaan mengambil alih tanah terbabit.

Syarikat itu katanya, juga berhak menuntut keuntungan mesne yang akan terus terakru sehingga kerajaan selesai menjelaskan pampasan sepenuhnya. Jumlah keuntungan mesne yang akan dinilai oleh Mahkamah Tinggi tidak akan dibayar lagi setelah pembayaran penuh pampasan dibuat.

Hakim Lee turut mengarahkan pihak terlibat untuk mengemukakan laporan penilaian pakar mengenai nilai pasaran tanah berkenaan pada 3 Dis 1956, dalam tempoh 90 hari bermula pada hari ini.

Beliau berkata dua bayaran yang dibuat kerajaan – RM1.321 juta pada 21 Dis 1956, dan RM79,241 pada 3 Feb 1959 – akan ditolak daripada jumlah pampasan yang akan dinilai.

Hakim Lee juga memutuskan bahawa syarikat itu berhak menerima faedah enam peratus setahun dari 3 Dis 1956 sehingga tarikh pembayaran dibuat berdasarkan jumlah pampasan yang ditetapkan.

Tanah terbabit terletak di Jalan Duta yang menempatkan bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Masjid Wilayah, bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Semantan Estate memulakan pertikaian undang-undang pada 2003 apabila syarikat itu menyaman kerajaan, mendakwa bahawa tanah terbabit diambil secara tidak sah.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil tanah itu secara tidak sah. Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, namun ditolak.

Pada Februari 2017, Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi itu.

Terdapat tiga rayuan yang diputuskan oleh mahkamah hari ini. Rayuan pertama oleh Pendaftar Hak Milik Wilayah Kuala Lumpur terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Ogos tahun lepas yang mengarahkan pemindahan hak milik tanah kepada Semantan Estate. Mahkamah memihak kepada saman pemula syarikat itu.

Rayuan kedua ialah Semantan Estate terhadap keputusan Mahkamah Tinggi lain yang dibuat pada Oktober 2021, yang menolak permohonan mandamus untuk mengarahkan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi mematuhi perintah Mahkamah Tinggi pada 2009 untuk mengembalikan tanah itu kepada syarikat berkenaan. Semantan Estate turut merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penangguhan pemindahan hak milik kepada syarikat itu.

Dalam alasan penghakiman umum, Hakim Lee berkata kes melibatkan tuntutan semula tanah daripada kerajaan, mahkamah hanya boleh mengeluarkan pengisytiharan bahawa satu pihak berhak memiliki tanah, tetapi mahkamah tidak boleh mengeluarkan perintah untuk mengambil semula tanah itu.

Beliau berkata hal ini berdasarkan prinsip undang-undang pentadbiran yang lebih luas, bertujuan melindungi entiti awam daripada tuntutan tertentu yang boleh mengganggu fungsi pentadbiran kerajaan.

Dalam kes ini katanya, hampir 70 tahun telah berlalu sejak kerajaan mengambil alih tanah itu pada 1956. Pada masa itu, tanah berkenaan hanyalah ladang getah tua.

"Kini, kawasan itu telah menjadi kawasan bandar yang maju dengan pelbagai bangunan kerajaan, jalan raya, lebuh raya dan jejambat yang memberikan perkhidmatan kepada rakyat serta menghubungkannya dengan kawasan sekitar. Jika mahkamah mengarahkan pemindahan tanah kembali kepada Semantan Estate, ia juga akan melibatkan pemindahan pemilikan terhadap bangunan dan infrastruktur yang dibina di atas tanah itu," katanya.

Hakim Lee yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, menetapkan 30 Jun untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi bagi pentaksiran jumlah pampasan.

Pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Ahmad Hanir Hambaly@Arwi, Liew Horng Bin dan Mohammad Al-Saifi Hashim mewakili Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala peguam Datuk Dr Cyrus Das dan Ira Biswas mewakili Semantan Estate.

Selepas prosiding mahkamah, Das berkata kepada media bahawa permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu akan dikemukakan di Mahkamah Persekutuan. Selain itu, mereka juga akan memfailkan permohonan untuk penangguhan terhadap keputusan mahkamah berhubung pentaksiran pampasan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan