AM

LEBIH 5,000 PENGUNJUNG MERIAHKAN KARNIVAL MSN 2025 ZON TIMUR

24/06/2025 10:50 PM

KUALA TERENGGANU, 24 Jun (Bernama) -- Lebih 5,000 peserta dijangka memeriahkan Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2025 Zon Timur yang berlangsung selama tiga hari hingga Khamis ini di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata MSN menjadi platform penting untuk menyemai minat, membina kesedaran dan memperkukuh ekosistem bakat dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di negara ini.

“Dalam menghadapi gelombang teknologi baharu seperti AI (kecerdasan buatan), pendigitalan dan ekonomi hijau, Malaysia tidak boleh hanya menjadi pengguna. Kita mesti melahirkan pencipta dan peneraju. MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) komited untuk memastikan bakat tempatan dibina secara inklusif dan berterusan agar negara bukan sahaja bersedia, malah mampu menerajui transformasi teknologi dan ekonomi masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival MSN 2025 Zon Timur di PSKT di sini hari ini.

Justeru, Chang berkata setiap aktiviti yang disusun di bawah program Karnival MSN adalah bagi memastikan Malaysia mampu menerajui transformasi teknologi dan ekonomi masa depan, dengan menyasarkan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan seperti murid sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi, para guru, penyelidik, pihak industri dan orang awam.

Beliau berkata program itu juga melengkapi kurikulum sekolah sedia ada dengan memperkenalkan aktiviti luar bilik darjah yang bersifat praktikal dan interaktif bersama pakar dalam bidang STI.

Menurut Chang, MOSTI akan terus memperkasa penganjuran MSN melalui pendekatan inklusif yang melibatkan seluruh pelosok negara termasuk kawasan luar bandar, agar manfaat sains dan teknologi dapat dirasai secara menyeluruh oleh masyarakat melalui pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran interaktif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), persembahan sains yang mengujakan, kuiz sains, bengkel untuk pendidik dan pameran kerjaya berasaskan teknologi masa depan.

“Saya percaya, Karnival MSN bukan sahaja dapat mencetus minat generasi muda terhadap sains tetapi mampu merapatkan jurang STI dengan masyarakat umum melalui penglibatan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan, NGO (badan bukan kerajaan) dan komuniti,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Kerajaan Terengganu sentiasa menyambut baik inisiatif program MSN oleh MOSTI sebagai satu usaha penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI. 

“Kerajaan negeri menekankan komitmen untuk terus menyokong inisiatif ini dengan melibatkan penyertaan agensi-agensi negeri dan sektor swasta dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti berlandaskan STI secara besar-besaran khususnya di Terengganu,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival MSN 2025 Zon Timur. 

Beliau berkata pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah lokasi karnival itu bukan sekadar simbolik atau gimik tetapi satu pengiktirafan kepada negeri berkenaan, yang kini telah mencapai beberapa kejayaan signifikan dalam mengaplikasikan sains dan teknologi dalam pelaksanaan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 bagi mewujudkan negeri yang maju, berkat dan sejahtera.

Ahmad Samsuri berkata komitmen kerajaan negeri terhadap bidang STI juga dapat dilihat dengan penubuhan PSKT iaitu pusat sains pertama di Zon Timur Semenanjung dan ketiga di Malaysia selepas PSN Kuala Lumpur dan Kedah. 

 “Selain itu, program seperti Rehlah Sains hasil kerjasama Pusat Sains Negara, Yayasan Terengganu dan institusi tahfiz seperti Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu dan Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman berjaya dianjurkan pada tahun 2024, dengan penglibatan lebih 1,700 pelajar. 

“Ia menunjukkan Rehlah Sains yang bertujuan mendekatkan pelajar sekolah agama dan tahfiz dengan STEM berada pada landasan yang baik dan satu inisiatif tepat,” katanya.

 Penganjuran Karnival MSN adalah satu inisiatif MOSTI melalui Pusat Sains Negara dan rakan kerjasama strategik iaitu Planetarium Negara, Akademi Sains Malaysia dan Petrosains Discovery Centre Sdn Bhd.

Selain itu, penganjuran MSN juga mendapat tajaan daripada Yayasan MR. DIY selaku penaja utama MSN 2025. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan