KUCHING, 24 Jun (Bernama) -- Institusi kehakiman syariah perlu memainkan peranan penting dalam memanfaatkan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan sistem undang-undang Islam kekal relevan, efisien dan dipercayai.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata institusi berkenaan perlu diperkasakan bukan sahaja dari segi perundangan dan sumber manusia tetapi turut melalui transformasi digital dan adaptasi teknologi moden.
“Teknologi AI mempunyai potensi besar untuk membantu dalam rujukan, analisis kes, kompilasi manusia dan menghasilkan pertimbangan yang lebih cepat, lebih pantas dan dipacu data,” katanya ketika berucap mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi merasmikan Konvensyen Syariah Kebangsaan Sarawak 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata dalam keadaan ini, AI dan pendigitalan perlu dimanfaatkan dalam meningkatkan keadilan yang lebih cepat, tepat dan berkesan demi memenuhi tuntutan syarak dengan penuh hikmah dan integriti.
“Institusi Kehakiman Syariah bukan sekadar tempat untuk prosiding undang-undang tetapi asas dalam menegakkan keadilan berdasarkan undang-undang Islam dan menjaga kesejahteraan masyarakat Islam,” katanya.
Pada masa sama, Awang Tengah turut mengingatkan pengamal undang-undang syariah agar berhati-hati kerana teknologi mudah dimanipulasi dan boleh membawa kepada keputusan yang tidak berlandaskan kepada kebenaran jika diaplikasikan secara tidak berwaspada.
“(AI) ini adalah satu alat tapi pada masa sama kita juga perlu hati-hati… banyak (teknologi AI) yang juga disalah guna,” katanya, sambil berharap konvensyen itu akan menjadi medan ilmu yang mencerminkan aspirasi Sarawak untuk menjadi pelopor kepada sistem kehakiman Islam yang progresif.
Awang Tengah berkata Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) juga telah membangunkan sistem I-Syariah yang berfungsi sebagai pusat integrasi sistem maklumat syariah negeri itu, yang merangkumi pelbagai komponen perkhidmatan kehakiman berteraskan teknologi digital dan AI.
Beliau berkata inisiatif itu adalah satu transformasi teknikal yang mencerminkan komitmen tinggi JKSS dalam mendukung agenda digitalisasi kerajaan Sarawak, selaras dengan visi yang menekankan kecekapan, ketelusan dan penyampaian perkhidmatan awam bertaraf antarabangsa.
Beliau turut berharap konvensyen berkenaan akan menjadi platform dinamik untuk pertukaran ilmu dan idea bagi mengumpulkan amalan yang baik dan praktikal, serta mencari cara untuk mempermudahkan proses yang berpaksikan kepada keadilan.
-- BERNAMA