GEORGE TOWN, 24 Jun (Bernama) -- Negara anggota ASEAN perlu merangka pelan dengan tempoh masa yang jelas untuk memperkasakan kesaksamaan gender dalam sukan khususnya aspek kepimpinan dan kejurulatihan.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata kebanyakan badan sukan kebangsaan di rantau Asia Tenggara masih bergelut untuk mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan.
“Data menunjukkan bahawa wanita mewakili kurang daripada 20 peratus jurulatih bertauliah di ASEAN. Bidang kejurulatihan kekal didominasi kaum lelaki, dengan wanita sering diketepikan akibat berat sebelah dan ketiadaan suri teladan.
“Kita perlukan pelan yang jelas serta berpandukan garis masa tertentu untuk bertindak,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Persidangan ASEAN mengenai Kesaksamaan Gender dalam Sukan 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata bagi menangani isu kekurangan jurulatih wanita berkualiti, sudah tiba masanya daftar jurulatih wanita kebangsaan diperkenalkan selain bantuan bersasar untuk memastikan peningkatan berterusan dalam kalangan mereka yang berkelayakan.
Hannah berkata Pelan Tindakan Kebangsaan yang dirangka setiap negara juga perlu merangkumi strategi media yang berkesan untuk menyerlahkan sumbangan wanita serta menangani isu penting seperti Sukan Selamat dan kesihatan mental.
“Malaysia telah meletakkan asas ini menerusi Kod Sukan Selamat dilancarkan pada 2023, yang mengutamakan maruah, rasa hormat serta perlindungan daripada gangguan dan penyalahgunaan dalam semua ruang sukan.
“Malaysia turut berpandukan kepada Visi Sukan Nasional 2030 (VSN 2030), iaitu kerangka jangka panjang untuk membina ekosistem sukan yang kompetitif, menyeluruh, selamat dan progresif,” katanya.
Hannah berkata sebanyak 1,187 organisasi termasuk agensi kerajaan, badan sukan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia telah menandatangani komitmen terhadap Kod Sukan Selamat manakala 3,769 individu terdiri daripada kakitangan, jurulatih dan atlet melengkapkan Kursus Sukan Selamat di bawah Akademi Kejurulatihan Kebangsaan.
Beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan turut mewajibkan semakan latar belakang terhadap semua jurulatih dilantik Majlis Sukan Negara (MSN) dan bercadang untuk meluaskan pelaksanaan dasar itu kepada semua jurulatih berdaftar dan berlesen.
-- BERNAMA