AM

PM ANWAR PESAN JANGAN BUANG PELAJAR TERLIBAT PERHIMPUNAN AMAN GEMPUR RASUAH 2.0 - ZAMBRY

24/06/2025 06:09 PM

KOTA KINABALU, 24 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpesan supaya Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak mengambil tindakan membuang pelajar yang terlibat dalam Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0, baru-baru ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pesanan kepada pihak universiti itu disampaikan bagi memastikan tindakan yang diambil tidak menjejaskan masa depan pelajar terlibat, khususnya peluang mereka untuk menamatkan pengajian di UMS. 

“Sebentar tadi Perdana Menteri menelefon saya dan kami berbincang, dan beliau berpesan supaya pelajar UMS yang terlibat dalam insiden baru-baru ini, tidak dibuang universiti. Bagi YAB PM, mereka mungkin membuat kesilapan tetapi masa depan dan pengajian mereka jauh lebih penting dan perlu diutamakan.

“Ini adalah keprihatinan Perdana Menteri, meskipun dalam konteks di sini di kampus itu ada peraturannya, meskipun beliau menjadi sasaran utama, beliau telah memaklumkan kepada saya untuk menyampaikan kepada universiti mengenai harapan beliau untuk tidak buang pelajar berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program “In Person With Doc Zam” sempena Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI di UMS di sini hari ini.

Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun dilaporkan berkata peserta perhimpunan itu disiasat atas sembilan kesalahan antaranya menghasut, pembakaran terbuka di tempat awam, membawa bahan kakisan berbahaya dan menyentuh isu sensitif melibatkan raja, agama serta kaum atau 3R.

Perhimpunan pada Sabtu lepas (21 Jun) itu anjuran kumpulan Suara Mahasiswa UMS antara lain berarak sekitar bandar raya Kota Kinabalu serta membawa plakad mengenai pelbagai isu di Sabah seperti rasuah dan bekalan air selain membakar karikatur Anwar.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor dilaporkan berkata 13 pelajar UMS dikenal pasti terlibat dalam perhimpunan itu berkemungkinan berdepan tindakan tatatertib termasuk penggantungan atau dibuang universiti mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012 (AUKU).

Mengulas lanjut, Zambry berkata hak untuk rakyat Malaysia dan juga pelajar untuk mengadakan sebarang bentuk perhimpunan telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. 

“Namun, dalam masa yang sama ia juga tertakluk kepada peraturan dan undang-undang sedia ada. Sama ada undang-undang yang berkaitan dengan ketenteraan awam, keselamatan awam dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata pihak UMS telah memberikan maklumat dan taklimat mengenai isu itu kepadanya, sehubungan dengan itu pihak kementerian menyerahkan kepada universiti untuk mengambil tindakan berdasarkan kepada peraturan sedia ada. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan