DUNIA

OPERASI PENERBANGAN DISAMBUNG SEMULA DI QATAR, BAHRAIN DAN KUWAIT

24/06/2025 06:23 PM

DUBAI, 24 Jun (Bernama-TASS) -- Qatar menarik balik sekatan ke atas ruang udaranya yang sebelum ini ditutup sejurus sebelum serangan peluru berpandu Iran ke atas Pangkalan Udara Al-Udeid, lapor agensi berita Rusia TASS memetik laporan media tempatan.

“Pihak Berkuasa Penerbangan Awam mengumumkan pemulihan semula trafik udara dalam ruang udara Qatar.

“Keadaan kini kembali normal selepas pelaksanaan langkah-langkah keselamatan yang perlu dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan pengawal selia penerbangan negara itu.

Ruang udara Qatar ditutup selama kira-kira empat jam setengah.

Susulan pelancaran peluru berpandu oleh Iran, Bahrain dan Kuwait turut mengambil langkah menutup ruang udara masing-masing.

Walaupun tiada pengumuman rasmi dibuat oleh pihak berkuasa Emiriah Arab Bersatu (UAE), perkhidmatan pemantauan Flightradar melaporkan bahawa ruang udara negara itu juga secara efektif ditutup kepada penerbangan awam.

Sekitar 10.30 malam waktu tempatan (serentak dengan waktu Moscow), Bahrain dan Kuwait memaklumkan bahawa mereka menarik balik sekatan penerbangan masing-masing.

Sementara itu, lapangan terbang di Dubai turut mengumumkan bahawa operasi penerbangan disambung semula selepas ditangguh sementara.

Namun, beberapa penerbangan dijangka mengalami kelewatan atau pembatalan, menurut perkhidmatan media kerajaan emiriah.

-- BERNAMA-TASS

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan