KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Pengurusan media tidak boleh lepas tangan dan proses semak fakta harus diperkukuh agar kepercayaan rakyat tidak terhakis susulan tindakan sebuah media tempatan menerbitkan infografik berunsur mengelirukan melibatkan Ketua Polis Negara, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Tunku Abaidah dalam Taklimat Harian PMO berkata tuduhan melulu terhadap penjawat awam, khususnya pasukan polis, adalah tidak beretika dan boleh menjejaskan moral serta keyakinan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang.
Beliau berkata Kerajaan MADANI sentiasa menghormati kebebasan media sebagai antara tiang seri demokrasi namun menegaskan kebebasan tanpa disiplin hanya menjauhkan kita daripada kebenaran.
“Merujuk kepada grafik sebuah portal berita terkemuka yang tular, seolah-olah mengaitkan Ketua Polis Negara dengan aktiviti kepartian politik, adalah contoh jelas bagaimana kekhilafan editorial boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap integriti penjawat awam,” katanya.
Pada 20 Jun lepas, media terbabit menerusi laman Instagram telah menyiarkan infografik memaparkan latar belakang Ketua Polis Negara yang baharu dilantik, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, sehingga menimbulkan kekeliruan mengenai pembabitan beliau dalam politik.
Susulan itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh mengesahkan bahawa Mohd Khalid tidak pernah menjadi ahli PKR apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam parti tersebut.
Media berkenaan kemudian memohon maaf secara terbuka atas kesilapan maklumat yang disiarkan serta mengambil tindakan dalaman dengan menggantung tugas kakitangan terbabit.
-- BERNAMA