AM

KERJASAMA FAMA & LUXAMANA PERKUKUH RANTAIAN BEKALAN AGROMAKANAN

24/06/2025 09:11 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melangkah lebih maju dalam memperkukuh sistem logistik agromakanan negara melalui kerjasama strategik dengan syarikat logistik terkemuka Luxamana Sdn Bhd.

Kerjasama itu dimeterai hari ini pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang dijangka meningkatkan kapasiti penghantaran untuk platform jualan dalam talian FAMA iaitu Agrobazaar Online dan AgroXpress.

Timbalan Ketua Pengarah Sekuriti Makanan dan Operasi FAMA Shahrizan Sudiman berkata kerjasama itu akan memberi impak besar kepada usahawan dalam talian terutama melalui platform Agrobazaar Online yang menjadi saluran utama pemasaran produk agrotempatan.

“Inisiatif ini akan mempermudah proses penghantaran produk terus ke pintu pelanggan sekali gus meningkatkan kecekapan rantaian bekalan makanan,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU antara FAMA dan Luxamana Sdn Bhd di sini. 

Turut hadir Pengarah Bahagian Pemasaran Segar dan Intervensi FAMA Ramli Mat Sani, Pengarah Kanan Pemasaran Segar dan Intervensi FAMA Aiada Abdul Rashid, Ketua Eksekutif Luxamana Sdn Bhd Uzair Haqimy Azman, Pengurus Besar Luxamana Sdn Bhd Nur Elisya Mohd Faisal Gunaselan dan Pengurus Operasi Luxamana Sdn Bhd Wan Ahmad Adli Wan Ahmad Ifafudin. 

MoU itu ditandatangani Ramli mewakili FAMA dan Wan Ahmad Adli bagi pihak Luxamana Sdn Bhd.

Shahrizan juga berkata menyedari keperluan usahawan terutama usahawan kecil sederhana terhadap perkhidmatan segera dan mudah dicapai, Luxamana menyediakan akses kepada sistem penghantaran melalui talian terus bagi sebarang keperluan penghantaran ad hoc. 

“Logistik yang cekap adalah tulang belakang sektor agromakanan kerana ia bantu menjamin bekalan makanan berkualiti, selamat dan mampan kepada rakyat dan bagi barangan segar dan basah yang sentiasa menjadi cabaran besar kepada usahawan agromakanan. 

“Maka penyediaan rangkaian sejuk pintar oleh Luxamana adalah antara penyelesaian yang efisien. Melalui teknologi dan fasiliti penghantaran yang menggunakan teknologi sejuk pintar sudah tentu produk segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan produk ternakan akan kekal segar, berkualiti dan selamat dimakan apabila sampai kepada pengguna,” katanya. 

Beliau berkata kerjasama itu bukan sahaja akan meningkatkan daya saing usahawan tempatan malah akan merancakkan ekosistem logistik dan pemasaran produk agrotempatan secara menyeluruh.

Shahrizan juga berkata kerjasama ini bukan sahaja akan memperkukuh daya saing usahawan tempatan malah merancakkan lagi ekosistem logistik dan pemasaran produk agrotempatan secara keseluruhan.

“Kerjasama ini bukan perkara baharu, kita mahu kerjasama dengan semua industri logistik supaya mereka dapat bersaing dalam pasaran sekali gus mempertingkat sistem penyampaian bekalan makanan kepada pengguna," katanya.

Uzair Haqimy pula berkata pada peringkat awal, perkhidmatan logistik akan difokus di sekitar Lembah Klang dan Utara Semenanjung selain menyasarkan membuka pusat agihan di Perak dan Perlis bagi memudahkan serta meluaskan lagi perkhidmatan.

Mengenai operasi di Borneo pula, beliau berkata pihaknya meletakkan sasaran dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Beliau berkata pihaknya turut menekankan komitmen terhadap konsep logistik halal yang akan diperkenal pada masa hadapan dengan memberi tumpuan kepada aspek kebersihan kenderaan dan pengendalian makanan yang memenuhi piawaian halal.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan