KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT) bercadang untuk mengambilalih The Mall, Mid Valley Southkey (MVS Mall) di Johor Bahru berharga RM2.65 bilion.
IGB REIT melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata pengambilalihan itu akan dilaksanakan oleh Mtrustee Bhd, yang bertindak sebagai pemegang amanah untuk dan bagi pihak IGB REIT, dari Southkey Megamall Sdn Bhd (SMSB).
Cadangan pengambilalihan merangkumi pusat membeli-belah, aset operasi, perjanjian penyewaan, kontrak penting dan komponen yang berkaitan.
"MVS Mall terdiri daripada pusat membeli-belah lima tingkat dengan lantai mezanin, bersama-sama dengan tempat letak kereta berasingan lapan tingkat dan dua tingkat tempat letak kereta bawah tanah," katanya.
Pertimbangan pembelian akan diselesaikan melalui gabungan RM1 bilion tunai dan RM1.65 bilion lagi, melalui penerbitan baharu unit-unit IGB REIT.
Pengambilalihan itu tidak dijangka mempunyai kesan material terhadap pendapatan IGB REIT, pendapatan seunit dan perolehan yang boleh diedarkan setiap unit bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2025 kerana perjanjian itu hanya akan dilaksanakan dan disiapkan menjelang suku keempat 2025, katanya.
Dalam satu kenyataan yang berasingan, IGB REIT berkata MVS Mall akan menjadi tambahan baharu kepada portfolionya, dengan unjuran pendapatan berulang yang stabil selain berpotensi untuk pertumbuhan masa depan.
"Ini disokong oleh lokasinya yang strategik dalam zon ekonomi utama seperti pembangunan bersepadu Mid Valley Southkey di Johor Bahru.
"MVS Mall juga mempunyai campuran penyewa yang mantap, merangkumi Sogo, Village Grocer, Golden Screen Cinemas, Aurum Theatre dan MVEC Exhibition Hall," katanya lagi.
-- BERNAMA