PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menubuhkan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) dalam usaha meneruskan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan, bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta dan inflasi perubatan.
Jawatankuasa yang mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini, akan menyelaras pendekatan menyeluruh untuk merangka dan melaksanakan langkah-langkah secara kolaboratif yang sejajar dengan penjagaan kesihatan berasaskan nilai.
Dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, JBMKKS mempunyai keanggotaan terdiri daripada wakil MOF, KKM, dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Jawatankuasa ini akan disokong oleh Majlis Perundingan bagi memberikan input dan nasihat teknikal, yang dianggotai oleh wakil-wakil utama dalam ekosistem penjagaan kesihatan swasta, termasuk hospital swasta, penyedia insurans dan pengendali Takaful.
“Peningkatan kos penjagaan kesihatan merupakan kebimbangan utama rakyat Malaysia dan Kerajaan MADANI mengambil langkah proaktif untuk menanganinya.
“Jawatankuasa bersama ini mencerminkan komitmen kita untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam membentuk sistem penjagaan kesihatan swasta yang mampan, telus dan benar-benar memberi nilai. Pada asasnya, ini adalah tentang melindungi kesejahteraan rakyat Malaysia dan mengukuhkan daya tahan negara kita,” kata Amir Hamzah dalam satu kenyataan bersama oleh kedua-dua kementerian hari ini.
Beliau berkata JBMKKS dibina atas usaha yang telah dijalankan sebelum ini, termasuk pelaksanaan keperluan pembayaran bersama oleh BNM, langkah interim bagi mengurangkan impak pelarasan premium perubatan kepada pemegang polisi yang terkesan pada 2024 hingga 2026, serta kerangka RESET.
Kerangka itu merangkumi lima teras strategik untuk menangani inflasi perubatan, iaitu menyusun semula Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), meningkatkan ketelusan harga, memperkukuh ekosistem Kesihatan Digital, mengembangkan pilihan penjagaan kos efektif, dan menyusun semula pembayaran penyedia perkhidmatan kesihatan.
RESET mendapat sokongan yang meluas daripada MOF, KKM, BNM dan pihak industri yang utama sebagai kerangka strategik untuk menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan dan insurans swasta.
Melangkah ke hadapan, jawatankuasa ini akan menjadi platform utama untuk membimbing dan memantau pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah RESET.
Kerja-kerja ke atas inisiatif penting ini telah bermula, khususnya dalam pembangunan produk asas MHIT yang mengimbangi kemampuan dan kemampanan, pembangunan sistem pembayaran berdasarkan Kumpulan Berkaitan Diagnostik (DRG) untuk pelaksanaan secara berfasa, serta peningkatan ketelusan maklumat harga.
Bagi pemegang polisi insurans perubatan sedia ada, langkah-langkah ini bertujuan untuk memastikan ketelusan harga yang lebih baik dan pada masa yang sama, menawarkan pilihan yang lebih mampu milik.
Sepanjang tempoh jawatankuasa ini berkuat kuasa, langkah-langkah untuk memperluas akses kepada penjagaan kesihatan swasta yang mampu milik akan diteruskan, termasuk dengan memperkukuh peranan penjagaan kesihatan primer dan kesinambungan penyedia penjagaan kesihatan, berasaskan langkah-langkah yang telah diumumkan sebelum ini seperti inisiatif Rakan KKM.
Dzulkefly berkata kerangka RESET yang dibangunkan secara bersama ini turut merangkumi usaha KKM yang sedang dan akan dilaksanakan untuk memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Malaysia untuk semua.
“Kerangka ini turut mencerminkan komitmen secara menyeluruh untuk melaksanakan penyelesaian seperti penjagaan berasaskan nilai, yang mengutamakan hasil kesihatan melalui pelaksanaan berfasa DRG serta peluasan pilihan penjagaan kesihatan dengan harga yang berpatutan untuk rakyat.
“Inisiatif sebegini akan memberikan manfaat nyata kepada semua rakyat Malaysia melalui pengurangan kesesakan dan kepadatan di hospital dan klinik awam,” kata beliau.
JBMKKS sedar bahawa kejayaan pelaksanaan inisiatif RESET yang menyeluruh bergantung kepada kerjasama pelbagai pihak.
“Oleh itu, Majlis Perundingan amat penting dalam mengukuhkan komitmen Kerajaan MADANI untuk menyediakan platform khusus bagi pihak industri utama berganding bahu dan menyumbang kepakaran ke arah matlamat bersama, iaitu memastikan penjagaan kesihatan swasta yang mampu milik dan mudah diakses untuk semua rakyat Malaysia, sambil merangsang pertumbuhan sektor yang mampan,” kata kenyataan bersama itu.
-- BERNAMA