AM

ANWAR ANJUR MAJLIS MAKAN TENGAH HARI RAIKAN PRESIDEN REPUBLIK KYRGYZ

25/06/2025 01:14 PM

PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menganjurkan majlis makan tengah hari bagi meraikan Presiden Republik Kyrgyz Sadyr Zhaparov di Seri Perdana di sini.

Zhaparov yang tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi dua hari, disambut oleh Anwar di kediaman rasmi Perdana Menteri pada 11 pagi.

Ketibaan Zhaparov turut disambut dengan ucapan “Selamat Datang ke Malaysia” oleh 117 murid Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5 (1).

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta anggota Kabinet Kyrgyz.

Terdahulu, Zhaparov menerima sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, diikuti mesyuarat bersama Perdana Menteri.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh baharu dan tenaga hijau, industri halal, komoditi pertanian, pelancongan, pendidikan dan bantuan pembinaan kapasiti melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

Mereka turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pelancongan, transformasi digital dan keselamatan siber, pendidikan tinggi, kesihatan, promosi perdagangan, kerjasama ekonomi serta kerjasama saintifik dan penyelirikan, selain pertukaran nota dalam sektor belia dan latihan untuk diplomat serta surat hasrat mengenai kerjasama perundangan.

Zhaparov dijadualkan mengadakan lawatan ke Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur sebelum berlepas pulang.

Pada 2024, Republik Kyrgyz merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM40 juta (USD8.74 juta).

Eksport utama Malaysia ke republik berkenaan termasuk produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, produk pertanian berasaskan minyak sawit dan jentera, kelengkapan serta alat ganti manakala import utama Republik Kyrgyz terdiri daripada bahan kimia dan produk kimia, produk elektrik dan elektronik serta makanan diproses.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan