KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Malaysia berjaya meraih akses pasaran pilihan dan diiktiraf bagi minyak sawit lestarinya susulan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (MEEPA) pada 23 Jun lepas.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi kenyataannya hari ini berkata perjanjian itu turut memberi manfaat kepada minyak sawit Malaysia menerusi pengurangan tarif 20-40 peratus mengikut kategori produk di bawah mekanisme kuota kadar tarif.
“Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) diwujudkan sebagai prasyarat untuk mendapatkan akses pengurangan tarif ini dan meletakkan MSPO sebagai pengupaya utama bagi meningkatkan akses pasaran untuk pengeksport minyak sawit Malaysia ke negara anggota EFTA seperti Switzerland, Norway, Iceland dan Liechtenstein,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan perjanjian itu sebagai titik rujukan penting bagi kedudukan Malaysia dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (EU) dengan 27 negara anggota blok berkenaan.
“Malaysia kekal komited sepenuhnya dalam usaha memacu kemajuan global dalam aspek perdagangan minyak sawit mampan, bertanggungjawab serta bebas pembasmian hutan dengan MSPO menjadi teras terhadap semua usaha ini,” katanya.
Menjelaskan selanjutnya, KPK berkata sebahagian daripada MEEPA itu menyaksikan kedua-dua pihak menerima satu Kenyataan Bersama Mengenai Minyak Sawit Mampan yang meningkatkan lagi pengiktirafan terhadap kepimpinan Malaysia dalam pengeluaran minyak sawit lestari selain mengukuhkan keyakinan ke atas bekalan diperakui dengan MSPO.
“Usaha bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan KPK, telah membawa kepada pengiktirafan ini oleh negara-negara EFTA,” katanya.
Menurut kementerian, MEEPA menghasilkan tiga impak penting -- membawa kepada pengurangan tarif bagi minyak sawit diperakui dengan MSPO, memperoleh pengiktirafan antarabangsa terhadap MSPO sebagai piawaian kelestarian kebangsaan Malaysia selain mengukuhkan komitmen terhadap ketelusan, kebolehkesanan dan rantaian bekalan bebas pembasmian hutan.
Bagi industri minyak sawit Malaysia, perjanjian itu menyediakan platform untuk bersaing di pasaran dipacu kelestarian di peringkat global daripada pekebun kecil hingga pengeluar utama dan pada masa sama mengukuhkan akses pasaran dan kelebihan tarif bagi bekalan yang diperakui dengan MSPO, katanya.
-- BERNAMA