KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Pelantikan sebagai pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah manifestasi penghargaan dan kepercayaan pasukan berkenaan atas kredibiliti serta keupayaan seseorang, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Beliau berkata ia adalah amanah yang perlu digalas dalam memperkukuh operasi jabatan demi melestarikan kesejahteraan dan keselamatan negara secara holistik.
“Saya yakin dengan pengalaman, kemahiran dan gaya kepimpinan yang ada, Datuk-Datuk dan tuan-tuan mampu mengurus tadbir jabatan masing-masing melalui pendekatan strategik ke arah penyampaian perkhidmatan yang berkesan.
“Semoga pelantikan ini akan terus membakar semangat perjuangan dalam memacu pasukan ke arah kecemerlangan dan memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap institusi kepolisan negara,” katanya.
Mohd Khalid berkata demikian pada Majlis Pemakaian Lencana Pangkat, Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Dan Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard PDRM di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay serta Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad yang menamatkan perkhidmatan hari ini.
Terdahulu, Mohd Khalid menyempurnakan majlis berkenaan yang membabitkan enam pegawai kanan PDRM termasuk Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa (dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman) serta Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad (dilantik sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman).
Turut terlibat Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi), Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman CP Gilberd Philip Layang (dilantik sebagai pengarah di jabatan sama) dan Penolong Pengarah (Telekomunikasi dan Sistem Maklumat) Bahagian Teknikal/Operasi, Jabatan Logistik Dan Teknologi Bukit Aman DCP Redzuan Abd Hamid (dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi) juga di jabatan sama).
Terlibat sama Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/perhubungan Antarabangsa), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman DCP Mohd Rozi Jidin (dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu lintas/ Pengurusan Saman), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bukit Aman).
Seorang lagi ialah Penolong Pengarah (Teknologi Maklumat), Cawangan Telekomunikasi dan Sistem Maklumat Bahagian Teknikal/ Operasi, Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman SAC Nordin Md Nor yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Telekomunikasi dan Sistem Maklumat) di jabatan sama.
-- BERNAMA