PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Tempoh pemprosesan permohonan skrip oleh syarikat antarabangsa yang dipendekkan daripada 30 hari kepada tujuh hari merupakan antara pencapaian utama Kementerian Komunikasi dalam melaksanakan reformasi kerenah birokrasi, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata pencapaian itu amat membanggakan, khususnya bagi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), kerana ia memenuhi keperluan penting syarikat penggambaran asing yang memerlukan penelitian skrip secara menyeluruh sebelum menjalankan penggambaran di Malaysia.
“Ada beberapa agensi lain di bawah Kementerian Komunikasi yang turut melaksanakan penambahbaikan dalam aspek kerenah birokrasi. Contohnya, PUSPAL (Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara), yang sebelum ini mengambil masa lebih lama untuk memproses permohonan.
“Tetapi apabila Garis Panduan PUSPAL (GPP) 6.0 dilancarkan pada April lepas, beberapa perkara telah dipermudahkan, terutama bagi penganjuran konsert dan aktiviti penggambaran oleh artis antarabangsa atau syarikat perfileman luar negara,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Menurut Fahmi, Kementerian Komunikasi juga akan memperhebat usaha reformasi birokrasi di agensi dan badan berkanun lain di bawah kementeriannya, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Kementerian Komunikasi dilaporkan antara tiga kementerian yang berjaya melaksanakan reformasi kerenah birokrasi, sekali gus menerima penghargaan khas atas kejayaan itu.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilaporkan berkata, kementerian itu berjaya meningkatkan kecekapan kelulusan skrip filem asing daripada 30 hari kepada tujuh hari, dengan penjimatan kos beban peraturan dianggarkan mencecah RM2.4 juta bagi setiap produksi.
Langkah itu, katanya, memperkukuh lagi daya saing Malaysia sebagai destinasi pilihan penggambaran antarabangsa.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa menerima sijil penghargaan khas tersebut daripada Shamsul Azri dalam satu majlis di Putrajaya pada Selasa.
Turut menerima penghargaan sama ialah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
-- BERNAMA