DUNIA

KERETA API LAJU WHOOSH INDONESIA CATAT LEBIH 10 JUTA PENUMPANG

26/06/2025 03:40 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 26 Jun (Bernama) -- Kereta api berkelajuan tinggi Jakarta-Bandung di Indonesia, yang dikenali sebagai Whoosh mengangkut lebih 10 juta penumpang sejak pelancarannya secara komersial pada Oktober 2023, menurut pengendali tren itu pada Khamis.

PT Kereta Cepat Indonesia-China (KCIC) berkata jumlah itu dicapai antara 17 Okt 2023 hingga 25 Jun 2025, dengan sebanyak 10,014,707 penumpang direkodkan dalam 29,786 perjalanan.

“Angka ini mencerminkan sambutan tinggi orang ramai terhadap Whoosh,” kata Pengurus Besar Setiausaha Korporat KCIC, Eva Chairunisa dalam satu kenyataan.

Beliau berkata penggunaan perkhidmatan oleh penumpang dipertingkat melalui usaha integrasi pengangkutan, termasuk sambungan ke tren pengantara, LRT Jakarta Raya, perkhidmatan bas dan teksi.

Eva turut memetik penemuan daripada satu kajian oleh pusat penyelidikan Universiti Indonesia, yang mendapati tren Whoosh mengeluarkan hanya 6.9 gram CO₂ bagi setiap penumpang kilometer, berbanding 12.7 gram oleh kenderaan persendirian.

Tren itu juga membantu mengurangkan pelepasan karbon sehingga 54 peratus, di samping berpotensi menjimatkan kira-kira 2.91 bilion rupiah (sekitar US$180,000) setahun dalam kos berkaitan kemalangan jalan raya, kata beliau.

Projek kereta api laju Whoosh bermula pada 2015, dengan pembinaan dimulakan pada 2016. Ia mula beroperasi pada 2023, menjadikan Indonesia negara pertama di Asia Tenggara yang mengendalikan rangkaian kereta api laju.

Projek ini sebahagian usaha pembangunan infrastruktur yang lebih luas dengan sokongan pelaburan China di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan Beijing.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan