AM

MY50 BOLEH DIPERBAHARUI MELALUI TNG EWALLET MULAI 1 JULAI - LOKE

26/06/2025 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Pengguna pas perjalanan tanpa had My50 kini boleh memperbaharui pas masing-masing secara dalam talian menerusi aplikasi Touch 'n Go (TNG) eWallet mulai 1 Julai ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke. 

Beliau berkata inisiatif pendigitalan itu membolehkan pengguna memperbaharui pas bulanan mereka dengan hanya menggunakan kad TNG yang dilengkapi teknologi komunikasi medan dekat (NFC), tanpa memerlukan kad pengenalan atau beratur di kaunter Rapid KL. 

"Dengan pendigitalan ini, pengguna boleh disahkan sebagai warganegara Malaysia melalui proses e-Know-Your-Customer (eKYC) dan seterusnya memperbaharui pas My50 mereka melalui aplikasi TNG eWallet. Tidak perlu lagi menggunakan kad pengenalan untuk pembaharuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Taklimat dan Pengumuman Pendigitalan Pas My50 di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) KL Sentral di sini hari ini.

Beliau berkata sistem pembaharuan secara fizikal ketika ini mengambil masa kira-kira tiga minit setiap pelanggan menyebabkan barisan panjang hingga 45 minit di stesen sibuk seperti KLCC, Pasar Seni dan KL Sentral.

"Saya selalu menerima aduan mengenai pengguna berbaris panjang di kaunter-kaunter Rapid KL seperti di Stesen KLCC, Pasar Seni, KL Sentral dan yang lain-lain. Menerusi pendigitalan My50 ini, saya yakin selepas ini tiada lagi isu ataupun situasi pelanggan terpaksa beratur lama," katanya. 

Loke berkata projek pendigitalan My50 itu telah dibincangkan sejak satu atau dua tahun lepas sebelum kerja-kerja pembangunan dimulakan kira-kira enam bulan lepas dengan kos sebanyak RM2.75 juta.

Beliau bagaimanapun menjelaskan penggunaan MyKad masih dibenarkan bagi mereka yang belum menggunakan aplikasi eWallet, namun pembaharuan perlu dilakukan di kaunter seperti biasa, manakala bagi mereka yang memilih pembaharuan melalui eWallet, pengguna perlu memiliki kad TNG yang dilengkapi NFC. 

“TNG dipilih sebagai rakan kerjasama kerana mereka merupakan gerbang pembayaran paling besar dalam negara selain turut  mempunyai sistem mereka ada ciri e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) yang melibatkan lebih 24 juta rakyat Malaysia,” katanya. 

Pada masa sama, menjelang hujung tahun ini aplikasi TNG eWallet juga akan memperkenalkan satu lagi baharu yang membolehkan pengguna melihat corak penggunaan pas My50 dan jumlah sebenar penjimatan kos perjalanan mereka setiap bulan bagi membantu mereka merancang kewangan.

Sementara itu, Loke berkata Prasarana akan memperluas inisiatif pendigitalan berkenaan kepada produk lain seperti Pas MyCity dan Pas MyTourist menjelang akhir tahun ini.

Menurut beliau Inisiatif pendigitalan itu adalah usaha berterusan Kementerian Pengangkutan dan Prasarana bagi meningkatkan kemudahan serta menyokong aspirasi negara ke arah sistem pengangkutan awam digital dan tanpa tunai.

"Pengangkutan awam bukan sekadar menyediakan bilangan tren atau bas yang mencukupi. Fasiliti sokongan seperti sistem tiket juga merupakan elemen penting dalam menyediakan kemudahan pengangkutan awam berkelas dunia," katanya.

Loke berkata semua perancangan bandar baharu perlu mengambil kira mobiliti merangkumi sistem pengangkutan awam yang bersepadu, infrastruktur berjalan kaki dan perhentian bas yang mencukupi seperti digariskan dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040.

"Saya menyeru semua operator pengangkutan awam untuk terus meneroka inovasi dan kecanggihan sistem teknologi yang semakin berkembang dan mengadaptasi teknologi AI (kecerdasan buatan) dalam sistem pembayaran agar pengguna mendapat manfaat yang lebih besar," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan