AM

101 SESI LIBAT URUS AKTA PSB DIADAKAN, TERTINGGI DALAM SEJARAH - NGA

26/06/2025 04:17 PM

JOHOR BAHRU, 26 Jun (Bernama) -- Sebanyak 101 sesi libat urus dilaksanakan setakat ini dalam usaha merangka Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) menjadikannya antara proses penggubalan akta paling menyeluruh dengan rekod tertinggi sesi berkenaan dalam sejarah negara. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata libat urus itu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemaju hartanah, persatuan pembeli rumah, aktivis masyarakat, ahli akademik, Ahli Parlimen dan parti politik.

“Belum pernah ada kementerian buat 101 kali sesi libat urus. Kita berpegang kepada prinsip tiada yang tertinggal, tiada yang tersisih. Semua pihak kita libatkan kerana kita tidak mahu bandar-bandar kita menjadi kawasan setinggan pada masa akan datang.

“Akta ini adalah langkah ke hadapan untuk memperbaharui kawasan bandar yang lama dan usang agar menjadi lebih mampan dan moden,” katanya dalam sidang media sempena sambutan Hari Landskap Negara Peringkat Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.

Nga berkata pelaksanaan akta itu kelak, yang dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang, bakal menjadi pemacu pembangunan semula bandar secara terancang dan menyeluruh serta memperkukuh agenda pembaharuan semula bandar. 

Ketika ini PSB dilaksanakan menerusi Akta Hakmilik Strata 1985 dengan Seksyen 57 mensyaratkan "resolusi sebulat suara" daripada pemilik sebelum badan pengurusan boleh mengambil alih sebagai pemegang amanah untuk melaksanakan kerja-kerja pembaharuan semula bandar. 

Menerusi akta baharu itu, KPKT mencadangkan nilai ambang persetujuan berdasarkan usia bangunan iaitu 75 peratus bagi bangunan berusia lebih 30 tahun, 80 peratus untuk bangunan berusia kurang 30 tahun dan 51 peratus bagi bangunan usang atau tidak selamat untuk diduduki. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan