EKONOMI

POWERWELL PEROLEH KONTRAK PUSAT DATA BERNILAI RM8.3 JUTA DI INDONESIA

26/06/2025 04:56 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Powerwell Holdings Bhd (Powerwell), Powerwell International Sdn Bhd berjaya memperoleh kontrak pusat data bernilai RM8.3 juta daripada PT Duta Listrik Graha Prima.

Dalam satu kenyataan, Powerwell berkata kontrak itu yang melibatkan pembekalan papan suis voltan rendah bagi projek pusat data di Indonesia, dijangka siap sepenuhnya menjelang suku terakhir 2025.

Pengarah Urusan Kumpulan Catherine Wong Yoke Yen berkata projek itu menyerlahkan keupayaan kumpulan itu, disokong oleh kilang pemasangannya di Indonesia.

“Apa yang lebih penting, kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kami bagi tahun kewangan semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau berkata pasaran pusat data di Indonesia dijangka terus berkembang pada kadar yang menarik, didorong oleh struktur kos yang menggalakkan.

“Kami yakin untuk merebut lebih banyak peluang, disokong oleh rekod prestasi dan kepakaran teknikal kami. Pasukan kami sedang giat mengejar peluang dalam kedua-dua pusat data dan sektor infrastruktur,” katanya.

Pada akhir Mac 2025, Powerwell mempunyai nilai perolehan kontrak yang belum selesai sekitar RM116 bilion, tidak termasuk kontrak tersebut.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan