AM

PROGRAM AL-FALAH MADANI 2025 DI KUANTAN BERMULA ESOK

26/06/2025 05:21 PM

KUANTAN, 26 Jun (Bernama) -- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan program Al-Falah MADANI 2025 di Masjid Jamek Beserah di sini bermula esok hingga Ahad.

Program ini merupakan manifestasi pendekatan Malaysia MADANI yang menekankan prinsip keterangkuman, kebersamaan dan kesejahteraan masyarakat melalui penglibatan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat setempat dalam memperkukuh syiar Islam di peringkat akar umbi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata pelbagai aktiviti menarik akan dianjurkan sempena program berkenaan antaranya Jualan Rahmah MADANI, gerai jualan makanan dan minuman, pemeriksaan kesihatan percuma, sukan rakyat dan pertunjukan aset kenderaan badan beruniform.

Acara utama merangkumi Indera Mahkota Berselawat dan Malam Kesenian Islam yang diadakan malam esok, Kuliah Zuhur Perdana Indera Mahkota bersama Ustaz Abdul Somad (Sabtu), Forum Perdana Hal Ehwal Islam Indera Mahkota (9 malam, Sabtu) dan Solat Subuh Macam Jumaat bersama Syeikh Abdul Karim Omar Al-Makki (Ahad). 

"Melalui program seperti ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) beriltizam untuk memperkukuh peranan masjid sebagai pusat pertemuan ummah, wadah dakwah yang berkesan serta medan pembangunan komuniti Muslim yang dinamik dan progresif," katanya dalam kenyataan media hari ini. 

Beliau berkata orang ramai dijemput memeriahkan program Al-Falah MADANI 2025 sebagai tanda sokongan terhadap usaha pembangunan Islam yang menyeluruh di bawah kerangka Malaysia MADANI.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan