JENAYAH & MAHKAMAH

DUA WARGA VIETNAM DIDAKWA EDAR, MILIKI DADAH

26/06/2025 06:20 PM

JOHOR BAHRU, 26 Jun (Bernama) -- Dua warga Vietnam termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah kira-kira dua minggu lepas.

Bagi pertuduhan pertama Lee Yuen Fei, 45 dan Trieu Thi Mai, 22 didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis MDMA, seberat 38,022 gram (g) pada 8.20 malam, di Jalan Seri Orkid 25, Taman Seri Orkid, pada 14 Jun lepas.

Mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan adalah di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, penjara seumur hidup dan sebat.

Di mahkamah sama, Lee dan Trieu juga dituduh memiliki dadah berbahaya jenis ketamin dengan berat kasar 1,375 gram di lokasi dan masa yang sama.

Pendakwaan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos depan sebagai sebutan semula kes untuk status laporan kimia.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan