JENAYAH & MAHKAMAH

PELAJAR TINGKATAN DUA DAKWA DIBULI DI ASRAMA

26/06/2025 10:06 PM

JERTIH, 26 Jun (Bernama) -- Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua sebuah sekolah berasrama penuh di Besut mendakwa menjadi mangsa buli beberapa pelajar senior di asrama, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad @ Abu berkata kejadian berlaku pada 11.30 malam dan remaja berusia 14 tahun itu membuat laporan polis semalam.

“Mangsa diarahkan duduk dalam keadaan separa mencangkung dan diletakkan selipar di kepala selama 40 minit, ditumbuk di perut dan ditampar.

“Kejadian menyebabkan mangsa sakit di perut dan rusuk kanan serta lebam di belakang badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azamuddin berkata warden asrama menghubungi keluarga mangsa untuk menghantarnya mendapatkan rawatan selepas sedar perbuatan dilakukan pelajar Tingkatan Tiga itu.

Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap lima pelajar di Mahkamah Majistret Besut esok, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan