KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan DHL telah memeterai memorandum persefahaman (MOU) semalam bagi meneruskan kerjasama sedia ada.
Dalam kenyataannya hari ini, agensi itu berkata di bawah kerjasama yang diperbaharui itu, kesemua empat segmen perniagaan DHL yang beroperasi di negara ini iaitu DHL Express, DHL Supply Chain, DHL Global Forwarding dan DHL eCommerce akan bekerjasama dengan MIDA bagi mengukuhkan ekosistem logistik dan rantaian bekalan.
Langkah itu juga bagi menyokong kedudukan Malaysia sebagai sebuah hab utama bagi pelaburan asing.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata kerjasama dengan DHL memaparkan satu pakatan strategik yang dapat melonjakkan perjalanan Malaysia menjadi sebuah hab logistik pintar utama di rantau ini.
“Sektor logistik Malaysia telah melalui satu transformasi yang mengagumkan, muncul sebagai kuasa inovasi dan teknologi maju.
“Kita sedang menyaksikan kemajuan dalam teknologi digital dan automasi pintar, daripada pengoptimuman laluan dijana oleh kecerdasan buatan (AI) dan penjejakan masa nyata kepada sistem robotik gudang yang canggih dan penghantaran autonomi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei Julian Neo berkata seiring dengan pendekatan “multi-shoring” (strategi perniagaan syarikat beroperasi di beberapa lokasi berbeza) dan pelbagai sumber yang kian mendapat tempat dalam strategi perniagaan global, Malaysia berada dalam kedudukan kukuh untuk memanfaatkan momentum itu berikutan faktor keterhubungan serantau dan ekosistem perniagaan yang kondusif.
“Menerusi rangkaian yang luas dan pengalaman kami dalam memudahcara perdagangan rentas sempadan, DHL Express berbangga untuk dapat membantu MIDA menarik minat pelabur global dengan menyediakan kemasukan pasaran yang lancar serta penyelesaian logistik secara menyeluruh.
“Secara bersama, kami dapat melakar kemajuan dalam misi untuk melonjakkan potensi daya saing dan inovatif negara ini,” katanya.
Pada masa sama, DHL turut berkongsi komitmen untuk memacu profil Malaysia dalam kalangan syarikat multinasional yang berhasrat mempelbagaikan operasi pembuatan serta pembuatan.
“Bersandarkan kehadiran yang kukuh di Malaysia serta keupayaan logistik dan rantaian bekalan secara menyeluruh, DHL mempunyai keupayaan untuk menyokong pelabur asing dalam meningkatkan daya tahan rantaian bekalan dengan memanfaatkan lokasi strategik Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA