AM

KERJASAMA STRATEGIK SME CORP. MALAYSIA-SHRD PERKASA PKS BERPOTENSI

26/06/2025 09:39 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- SME Corp. Malaysia dengan kerjasama Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRD) melancarkan inisiatif perkongsian strategik bagi mempromosikan inovasi sebagai strategi teras pertumbuhan perniagaan khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

SME Corp. Malaysia dalam kenyataan memaklumkan kerjasama itu bermula dengan sesi pertama daripada tiga sesi seminar inovasi bertemakan “Future Ready SMEs - The Power of Innovation”.

“Seminar ini memberi manfaat kepada lebih 70 PKS daripada pelbagai sektor untuk menyokong PKS tempatan dalam mengamalkan strategi yang diterajui inovasi bagi meningkatkan produktiviti, daya saing dan kesediaan untuk pengembangan global.

“Ia juga merupakan sebahagian daripada agenda SME Corp. Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk mentransformasikan PKS tempatan daripada perusahaan bersaiz kecil kepada sederhana dan meningkatkan jangkauan pasaran mereka sehingga ke luar negara,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Nainy berkata seminar berkenaan bertujuan melengkapkan PKS dengan pengetahuan dan pendekatan bagi meningkatkan strategi inovasi.

“Dengan memupuk inovasi dalam kalangan PKS, kami harap dapat meningkatkan sumbangan mereka kepada produktiviti negara dan memastikan pertumbuhan mampan dalam landskap ekonomi global yang semakin kompetitif,” katanya.

Seminar seterusnya dijadualkan pada Julai dan Ogos ini di Kuala Lumpur melibatkan PKS terpilih dan maklumat lanjut boleh didapati pada laman sesawang www.smecorp.gov.my.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan