DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI

26/06/2025 10:48 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Derivatif Malaysia mengakhiri minggu dagangan yang singkat ini lebih tinggi berikutan kadar pengeluaran minyak sawit yang rendah daripada jangkaan dan prestasi eksport Jun yang kukuh, kata penganalisis komoditi.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata pengurangan cukai eksport minyak sawit Malaysia dan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia Persatuan Perdagangan Bebas Eropah turut memberi dorongan kepada prestasi lebih baik hari ini.

“Bagaimanapun, penyusutan semula niaga hadapan minyak kacang soya Lembaga Perdagangan Chicago, kekurangan pembelian dari destinasi selain India, pengukuhan ringgit dan kemungkinan cukai dan levi eksport minyak sawit Indonesia tidak berubah bagi Julai mengehadkan peningkatan dalam niaga hadapan minyak sawit Malaysia dalam denominasi ringgit,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) mengunjurkan pengeluaran minyak sawit negara bagi tempoh 1 hingga 20 Jun menyusut sebanyak 4.56 peratus, sejajar dengan unjuran UOB Kay Hian iaitu penurunan antara -1 peratus hingga -5 peratus.

Bagaimanapun pengeluaran itu lebih rendah berbanding jangkaan sebelum ini iaitu penurunan yang tidak berubah kepada dua peratus. 

Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Julai dan Ogos 2025 masing-masing meningkat  RM47 kepada RM3,986 satu tan dan RM4,005 satu tan manakala September 2025 menokok RM46 kepada RM4,011 satu tan.

Kontrak Oktober 2025 naik RM42 kepada RM4,011 satu tan, November 2025 bertambah RM39 kepada RM4,017 satu tan dan Disember 2025 meningkat RM37 kepada RM4,031 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 63,167 lot daripada 64,359 pada Rabu manakala kepentingan terbuka susut kepada 224,560 kontrak daripada 231,315 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan meningkat RM20 kepada RM4,020 satu tan.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup esok, 27 Jun sempena cuti umum Awal Muharram dan akan beroperasi semula pada Isnin, 30 Jun 2025.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan