AM

SHARIFAH KHASIF TERHARU DIIKTIRAF TOKOH MAAL HIJRAH

27/06/2025 09:56 AM

IPOH, 27 Jun (Bernama) -- Mencintai dan memartabatkan al-Quran sebagai pegangan utama dalam kehidupan membolehkan Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman dinobatkan Tokoh Maal Hijrah 1447H peringkat negeri Perak, malam tadi.

Sharifah Khasif Fadzillah, 43, menganggap pengiktirafan itu amat menyentuh hati. 

Berasal dari Ipoh, Perak, beliau tidak pernah terfikir menerima pengiktirafan tertinggi seperti itu.

"Saya ini bukan individu yang hebat, saya hanyalah pencinta al-Quran yang memartabatkan al-Quran. Ini satu pengiktirafan bahawa besarnya keagungan al-Quran, kalau kita angkat dengan seikhlas hati, Allah SWT yang akan mengangkat martabat seseorang itu.

"Sebenarnya anugerah ini adalah untuk ayahanda saya Allahyarham Syed Badiuzzaman, saya masih ingat lagi pesanan beliau apabila kita jadi ahli al-Quran, insya-Allah kita akan dapat apa yang kita mahukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447 Hijrah Peringkat Negeri Perak yang disempurnakan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. 

Pada majlis berkenaan, ibu kepada dua cahaya mata itu menerima wang tunai RM15,000 yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Perak, pakej umrah bernilai RM9,000 serta plak dan sijil.

Sharifah Khasif Fadzillah yang juga Pengarah Akademi Sharifah Khasif merangkap Pengarah Pusat Tahfiz al-Quran dan Taranum Sharifah Khasif itu ialah Penasihat Bidang al-Quran di Jabatan Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia.

Beliau pernah dinobatkan johan tilawah antarabangsa serta kebangsaan dan qariah terbaik keseluruhan pada 2009 selain johan tilawah al-Quran peringkat negeri Perak sebanyak lapan kali dari 2000 hingga 2008.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan