AM

HARI LANDSKAP NEGARA: ARCA PELANTAR MINYAK DARIPADA 7,000 CAKERA PADAT TARIK PERHATIAN PENGUNJUNG

27/06/2025 05:13 PM

JOHOR BAHRU, 27 Jun (Bernama) -- Arca milik Majlis Perbandaran Pengerang yang menampilkan pelantar minyak berkembar setinggi 5.5 meter, diperbuat daripada 7,000 keping cakera padat, menjadi antara tarikan utama sempena sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2025 di sini.

Arkitek Landskap Nur Asilah Abu Hassan, 33, berkata arca yang dinamakan Letusan Alam itu mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk disiapkan dan diinspirasikan daripada pelantar minyak, pusaran air serta sisik ikan yang melambangkan tenaga dinamik dalam usaha mendapatkan sumber asli dari perut bumi.

“Arca ini menyerlahkan keseimbangan antara kekuatan industri dan keindahan alam, serta mencerminkan identiti dan kehidupan komuniti pesisir Pengerang,” katanya kepada Bernama.

Majlis Perbandaran Pengerang merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) baharu yang ditubuhkan khusus bagi mentadbir kawasan Pengerang yang sedang pesat membangun menerusi projek mega hab petroleum dan gas, Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC).

PIPC merangkumi kawasan yang menempatkan kilang minyak, kilang naphtha, kilang petrokimia, terminal gas asli cecair (LNG) dan loji regasifikasi. Projek ini merupakan pelaburan berskala besar dalam rantaian nilai hiliran minyak dan gas negara.

Sambutan HLN 2025 yang berlangsung dari 25 hingga 30 Jun ini di Taman Bukit Layang-Layang di sini dianjurkan oleh Jabatan Landskap Negara dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pasir Gudang, bertemakan Industri Landskap Pemacu Pembangunan MADANI.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan