KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Karnival Rasa Asli Desa RISDA 2025 yang berlangsung hari ini hingga 30 Jun menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung dengan penyertaan 28 usahawan dari 13 negeri yang mempamerkan lebih 60 jenis produk kulinari tempatan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata kementeriannya sentiasa menyokong penuh segala usaha proaktif dalam memperkasakan peranan masyarakat desa, khususnya komuniti pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
"Penganjuran program seperti ini mampu memberi nilai tambah bukan hanya dari segi pemasaran dan jualan, malah menyediakan ruang sebenar bagi memperkukuh jenama, pemadanan perniagaan dan pembangunan jaringan pasaran untuk usahawan desa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival itu di Wangsa Walk di sini hari ini.
Beliau berkata kebanyakan usahawan yang terlibat dalam karnival berkenaan mempunyai pendapatan bulanan antara RM5,000 hingga RM10,000 dan program seumpama itu dilihat berpotensi meningkatkan lagi pendapatan mereka.
“Berdasarkan maklum balas yang saya terima daripada usahawan tadi, ada yang dah dapat lebih daripada RM1,000 ke RM2,000 pendapatan hari ini, jadi saya rasa sasaran jualan lebih RM200,000 sepanjang penganjuran karnival ini mampu dicapai,” katanya.
Bertemakan “Rasa Tulen, Sentuhan Istimewa”, karnival berkenaan mengetengahkan pendekatan moden dan kreatif dalam mempamerkan keaslian cita rasa makanan desa dari 13 negeri seperti kek lapis, rendang maman, gulai temenung dan pelbagai makanan tradisional warisan setiap negeri.
Usahawan dari Beaufort, Sabah, Noorazlina Saramali, 32, meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang oleh RISDA untuk menyertai karnival itu yang membolehkannya memperkenalkan makanan tradisional dari Negeri Di Bawah Bayu kepada warga ibu kota.
Antara makanan yang dibawa khas, katanya ialah kelupis dan kucong yang sinonim dengan masyarakat Sabah dan Sarawak, terutama ketika musim perayaan dan majlis keramaian.
"Kelupis ialah pulut yang dimasak dengan santan dan dikukus sama juga dengan kucong tetapi kucong ada inti kacang berperisa udang. Niat saya nak perkenalkan kelupis kepada orang Kuala Lumpur sebab makanan ini jarang dibawa ke sini," katanya.
Siti Hajar Husnan, 39, usahawan dari Negeri Sembilan pula berkata beliau membawa makanan tradisional Johor seperti burasak dan lepat loi ke karnival kali ini yang biasanya hanya didapati ketika musim perayaan.
“Sebenarnya ini makanan bermusim, tetapi bila kami proses guna kaedah retort, ia boleh tahan hingga setahun dan boleh dimakan pada bila-bila masa. Kami juga ada jual secara dalam talian seperti melalui Shopee dan TikTok, alhamdulillah sentiasa ada permintaan,” katanya.
Antara tarikan lain karnival itu ialah reruai jenama RisSMart 24 oleh RISDA Agri Food Sdn Bhd (RAFI), yang kini mempunyai 11 cawangan dan menawarkan pelbagai jenis hidangan seperti pastri, “wagyu skewer”, mangkuk tomyam dan minuman, yang menunjukkan kemampuan produk desa ke tahap premium.
Pelbagai pengisian turut dijadualkan sepanjang karnival berlangsung termasuk demonstrasi masakan tradisional dari setiap negeri, showcase Malam Sinaran Nostalgia dan pertandingan ratu cilik.
-- BERNAMA