JOHOR BAHRU, 28 Jun (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA) mengumumkan 70 pemenang hadiah cabutan bertuah dengan keseluruhan bernilai RM300,000 bersempena dengan Kempen Hartanah UDA 2024/2025.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Johari Shukri Jamil berkata sebanyak 268 pembeli menyertai cabutan berkenaan dengan 55 peratus daripadanya merupakan bumiputera.
Beliau berkata hadiah utama ialah sebuah Proton S70 1.5T Executive selain hadiah menarik, iaitu dua motosikal Modenas Elegan, tiga kerusi urut Ogawa dan empat pakej percutian tiga hari dua malam ke Hard Rock Hotel Pulau Pinang dan Hard Rock Hotel Desaru, Johor.
Johari berkata sebanyak 30 baucar Harvey Norman bernilai RM500 serta 30 baucar SSF Home bernilai RM500 turut diberikan.
"Peserta yang layak merupakan pembeli yang telah menandatangani perjanjian jual dan beli (SPA) sepanjang tempoh kempen diadakan.
"UDA merekodkan jualan bernilai RM250 juta (sepanjang kempen) dengan Johor mencatatkan sambutan memberangsangkan dan daripada jumlah itu, majoriti hartanah terjual bernilai di bawah RM1 juta," katanya ketika berucap pada Majlis Cabutan Pemenang Hadiah Bersempena Karnival Jom Heboh di Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah Kumpulan UDA Azrudyn Rashid, Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn Bhd Muhammad Ismail Dasuki, Ketua Pegawai Operasi UDA Angsana Sdn Bhd Imran Salleh dan Ketua Bahagian Jualan dan Pemasaran Hartanah Kumpulan UDA Noorhasniza Kassim.
Johari berkata antara projek hartanah pilihan sepanjang kempen itu ialah projek jenis atas tanah di Kuala Terengganu Golf Resort (KTGR) Fasa 6, Sarai KTGR Fasa 5 dan Pelindung Heights Fasa 1B di Kuantan, Crescent Dew di Bertam, Taman Sena Permai di Kangar, Mawar di Taman Sultan Sallehuddin, Alor Setar serta Areca Terrace 4B di Bandar UDA Utama, di sini.
Beliau berkata projek jenis strata turut mendapat sambutan, iaitu 38 Bangsar, Pangsapuri Dedaun Residensi dan Legasi Kampong Bharu di Lembah Klang, Residensi Amaanee dan Residensi Evok di Pulai Pinang, Neu Pendington di Kuching, Sarawak serta kedai pejabat 21BizHub di Bandar UDA Utama, di sini.
Beliau berkata kempen berkenaan akan merancakkan lagi jualan hartanah merentasi lima wilayah pembangunan utama UDA serta menggalakkan pemilikan hartanah yang lebih inklusif dan mampan, khususnya dalam kalangan bumiputera.
"UDA turut berharap dapat terus konsisten memperkasakan pemilikan hartanah dalam kalangan bumiputera, seterusnya optimis meningkatkan lagi peratusan komuniti berkenaan dengan pelbagai inisiatif yang dirancang pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata UDA turut menawarkan kempen khas "Snap & Sign Deals" dengan ganjaran istimewa bernilai hingga RM100,000 kepada pembeli produk hartanah UDA, tertakluk pada terma dan syarat.
Kempen itu diadakan bersempena dengan penyertaan UDA pada Karnival Jom Heboh yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall semalam hingga esok.
-- BERNAMA