EKONOMI

PESURUHJAYA TINGGI BAHARU UK DI MALAYSIA FOKUS KERJASAMA SEMIKONDUKTOR HASILKAN CIP KUALITI TINGGI

29/06/2025 11:15 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald dan Mikhail Raj Abdullah

 

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Pesuruhjaya Tinggi baharu United Kingdom (UK) di Malaysia Ajay Sharma menjadikan usaha memperkukuh kerjasama dua hala sebagai keutamaan, dengan tumpuan khusus terhadap sektor semikonduktor yang berkembang pesat serta pembangunan reka bentuk cip bersepadu dan pembuatan termaju.

Beliau berkata kerajaan Britain berhasrat memperkukuh hubungan dan bertukar-tukar idea bagi meningkatkan rantaian nilai di kedua-dua negara dalam industri semikonduktor dan pembuatan cip berkualiti tinggi.

Usaha ini seiring dengan aspirasi Malaysia melalui Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) untuk beralih daripada pemasangan dan pengujian semikonduktor sumber luar kepada pembuatan berkualiti tinggi serta kebolehan khusus seperti reka bentuk litar bersepadu.

“Kami telah melihat sebuah syarikat Malaysia melabur dalam kemudahan semikonduktor sebatian baharu di Wales,” katanya merujuk kepada SMD Semiconductor, syarikat milik kerajaan negeri Sarawak yang baru-baru ini membuka hab inovasi penyelidikan dan pembangunan di Newport, bandar pelabuhan industri di Wales.

“Sehubungan itu, saya benar-benar berhasrat bekerjasama dengan Malaysia dalam industri semikonduktor. Malaysia telah terlibat dalam pelbagai bahagian rantaian nilai, dan kita boleh saling melengkapi dan belajar antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program 'The Nation' terbitan Bernama TV baru-baru ini.

Sharma yang menggantikan Ailsa Terry CMG, sebelum ini berkhidmat di Iran, Qatar, Turki, Moscow dan Paris.

Beliau turut melihat potensi kerjasama antara UK dan Malaysia dalam menyediakan kursus khusus mengenai semikonduktor dan reka bentuk cip di universiti di Britain, yang menyaksikan banyak penuntut Malaysia melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

 

Malaysia Berpotensi Besar dalam Tenaga Bersih

“Kita juga boleh bekerjasama dengan universiti tempatan untuk membawa bakat Malaysia ke UK dan mewujudkan kursus di UK. Kemudian, kursus ini boleh dibangunkan dan turut diperluaskan ke Malaysia,” katanya.

Beliau turut menekankan tenaga bersih sebagai satu bidang kerjasama dua hala yang boleh dipertingkatkan, dengan Malaysia mempunyai potensi besar dan Britain boleh memainkan peranan sebagai rakan sokongan.

“Malaysia mempunyai sumber semula jadi yang luas, peluang besar dalam tenaga bersih dan sedang mengusahakan pembangunan penting dalam pemerangkapan karbon, teknologi hijau dan peralihan tenaga.

“Malaysia juga mempunyai teknologi yang kreatif dan inovatif yang boleh digunakan di universiti kami, makmal serta dikembangkan menjadi perniagaan.

“Inilah yang menarik minat saya untuk memperoleh lebih banyak pelaburan daripada kedua-dua negara, juga dalam sektor ini,” kata Sharma.

Sharma berkata beliau berminat untuk meningkatkan pelaburan dua hala terutamanya pelaburan Malaysia di UK, dengan menyatakan usaha niaga yang berjaya seperti pembangunan semula Stesen Janakuasa Battersea, projek Brabazon YTL di Bristol, dan sumbangan dalam sektor yang terdiri daripada utiliti air seperti Wessex Water kepada penjanaan kuasa.

Pada masa yang sama, beliau berhasrat untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan syarikat UK mengenai peluang perniagaan di Malaysia. 

“Syarikat di UK tidak tahu dengan lebih mendalam mengenai peluang yang Malaysia tawarkan dan kita perlu meningkatkan profil bagi menarik kepentingan perniagaan.

“Ini adalah bidang utama yang saya ingin pertingkatkan di bawah kepimpinan saya,” kata Sharma sambil menegaskan Malaysia merupakan pasaran utama untuk pertumbuhan ekonomi di rantau ASEAN dan ini menjadikan matlamat  berkenaan lebih penting.

 

Permudahkan Proses Perdagangan CPTPP 

Dengan perdagangan UK-Malaysia mencecah enam bilion pound (kira-kira RM34.8 bilion), potensi kepada peningkatan perdagangan adalah besar. 

“Kita perlu melakukan banyak lagi usaha dalam pelbagai bidang seperti pembangunan teknologi, yang mempengaruhi banyak aspek, daripada penjagaan kesihatan, sains hayat sehingga kepada pembuatan pertahanan. 

“Kita perlu mengusahakan perkara ini selain tidak terhad kepada bidang yang telah ditumpukan sebelum ini,” kata Sharma.

Beliau berkata UK menjangkakan peluang baharu yang luas berikutan penyertaannya dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada 15 Disember tahun lepas, menjadikannya sebagai negara Eropah pertama yang menyertai pakatan itu.

CPTPP kini merangkumi Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, UK dan Vietnam.

Dengan gabungan populasi seramai 580 juta dan menyumbang 15.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global, CPTPP adalah blok perdagangan bebas keempat terbesar di dunia.

Sharma berkata sistem perdagangan global sedang berdepan tekanan yang ketara, dengan timbulnya persoalan mengenai keupayaan Pertubuhan Perdagangan Dunia untuk menguruskan cabaran, walaupun sebelum langkah perlindungan diperkenalkan oleh Amerika Syarikat.

“Kita benar-benar perlu mencari jalan untuk memastikan kerjasama antara negara kita bagi menyokong aliran perdagangan bebas dan pertumbuhan, yang menjadikan sebab utama kami berminat untuk menyertai CPTPP.

“Kita perlu memastikan proses pentadbiran perdagangan yang semudah mungkin. Saya tidak mahu orang ramai terlepas daripada pengaturan perdagangan yang baik ini semata-mata disebabkan proses permohonan untuk pengecualian dan sebagainya terlalu rumit atau membebankan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan UK sedang bekerjasama rapat dengan perniagaan untuk membantu mereka memanfaatkan sepenuhnya CPTPP termasuk melalui penjimatan kos dan akses pasaran yang lebih baik.

“Sebagai kerajaan, kita bekerjasama dengan perniagaan bagi memastikan mereka mengambil manfaat daripada peluang ini (CPTPP),” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan