KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Agensi perhubungan awam, ShekhinahPR, bersama perunding pemasaran dan pengurusan bola sepak ProEvents menyumbang peralatan bola sepak yang digunakan Manchester United pada perlawanan menentang ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil pada bulan lepas, kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Lemoi, Pahang, semalam.
Menurut kenyataan ShekhinahPR, agensi itu turut menghadiahkan 15 pasang kasut but bola sepak baharu kepada murid-murid sekolah berkenaan sebagai sokongan kepada pembangunan sukan bola sepak dalam komuniti Orang Asli.
"SK Lemoi, sebuah sekolah luar bandar yang menempatkan anak Orang Asli di Cameron Highlands mempunyai pasukan bola sepak, dikenali sebagai 'The Botaks'," menurut kenyataan berkenaan hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR Christopher Raj berkata sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha untuk memupuk minat sukan dalam kalangan anak-anak dari kawasan pedalaman.
“Kami percaya sukan mampu menjadi pemangkin perubahan dalam kehidupan. Melalui sumbangan ini, kami berharap ia dapat memberikan inspirasi dan motivasi kepada anak-anak Orang Asli untuk terus aktif dan bersemangat dalam bidang sukan, khususnya bola sepak.
“Melihat wajah gembira mereka menerima kasut but bola sepak dan barangan yang pernah digunakan Manchester United menentang ASEAN All-Stars, ia benar-benar menyentuh hati kami,” katanya.
Beliau berkata pihaknya komited untuk terus menyokong inisiatif pembangunan akar umbi, terutama dalam komuniti pedalaman.
ShekhinahPR katanya, sentiasa menyokong SK Lemoi menerusi sumbangan kelengkapan sukan dan jersi secara berterusan sebelum ini dengan yang terakhir adalah pada Mac lepas.
-- BERNAMA