DUNIA

ANGKA KEMATIAN AKIBAT COVID-19 DI BANGLADESH CECAH 22 ORANG SETAKAT BULAN INI

29/06/2025 01:48 PM

DHAKA, 29 Jun (Bernama-Xinhua) -- Bangladesh pada Sabtu merekodkan dua lagi kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kematian setakat bulan ini meningkat kepada 22 orang, lapor Xinhua.

Negara itu pada 5 Jun lepas merekodkan kematian pertama akibat COVID-19 tahun ini apabila seorang lelaki meninggal dunia akibat penyakit berjangkit itu di ibu negara Dhaka.

Bangladesh turut merekodkan tujuh kes baharu COVID-19 dengan kadar positif ujian harian melonjak kepada 3.87 peratus dalam tempoh 24 jam sehingga 8 pagi Sabtu waktu tempatan. Data rasmi menunjukkan sebanyak 174 sampel diuji dalam tempoh 24 jam lalu.

Berikutan peningkatan semula jangkitan COVID-19 di beberapa negara jiran, kerajaan sementara Bangladesh telah meminta rakyatnya untuk mengelakkan perjalanan ke destinasi berkenaan melainkan jika benar-benar perlu.

Pihak berkuasa di Bangladesh juga telah mengarahkan jabatan berkaitan untuk mempertingkatkan langkah saringan kesihatan dan pemantauan di semua pintu masuk bagi membendung penularan jangkitan.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan