SUBANG JAYA, 30 Jun (Bernama) -- Tan Sri Hamidin Mohd Amin hari ini dilantik sebagai Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Kongres Luar Biasa badan induk itu di sini, kira-kira empat bulan selepas beliau meninggalkan FAM.
Pengumuman oleh Presiden FAM Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dalam sidang media selepas mempengerusikan kongres berkenaan sekali gus menjawab desas-desus mengenai kepulangan Hamidin ke pangkuan FAM yang berlegar sejak beberapa bulan lepas.
Sebelum ini spekulasi mengenai pelantikan Hamidin sebagai Presiden Kehormat mula timbul selepas beliau mengumumkan tidak mempertahankan jawatan Presiden FAM pada Kongres Pemilihan badan induk itu pada awal tahun ini.
Mohd Joehari berkata pelantikan berkenaan adalah berdasarkan kredibiliti, pengalaman serta sumbangan besar Hamidin terhadap pembangunan bola sepak tanah air dan antarabangsa selama lebih 30 tahun.
"Memang kita memerlukan keberadaan Tan Sri (Hamidin) dari segi hubungan beliau yang luas dengan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selain agensi kerajaan dan badan swasta.
"Pelantikannya sebagai Presiden Kehormat juga adalah sebagai nilai tambah kepada pemegang-pemegang jawatan tinggi FAM yang sedia ada," katanya.
Mohd Joehari berkata tidak timbul isu pertindihan kuasa antara beliau selaku Presiden FAM dengan Hamidin .
"Kami mempunyai peranan berbeza. Tan Sri lebih kepada memberi nasihat serta memainkan peranan sebagai duta FAM.
“Seperti yang saya katakan, ini bukan soal membayangi sesiapa. Apa sahaja yang dapat membawa penambahbaikan kepada FAM, kita perlu bersikap objektif ," katanya.
Beliau berkata pelantikan itu mendapat sokongan 100 peratus daripada ahli perwakilan yang hadir pada Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2025.
Sebelum ini, Kongres FAM pada 2014 pernah menganugerahkan gelaran sama kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah yang menerajui FAM dari 1984 hingga 2014.
Anugerah berkenaan merupakan penghormatan tertinggi FAM atas sumbangan besar baginda dalam memperkukuh institusi bola sepak negara.
-- BERNAMA