SIBU, 30 Jun (Bernama) -- Sarawak perlu melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang tenaga solar sejajar dengan usaha negeri ini memperkukuh sektor tenaga boleh baharu (TBB), kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memenuhi peningkatan permintaan tenaga kerja selaras dengan sasaran kapasiti penjanaan tenaga 10,000 megawatt (MW) menjelang 2030 dan meningkat kepada 15,000 MW menjelang 2035.
“Sekurang-kurangnya 60 peratus daripada jumlah ini akan disumbangkan oleh sumber TBB termasuk tenaga solar,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan Sijil Akreditasi kepada Universiti Teknologi Sarawak (UTS) oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) di sini hari ini.
Sijil berkenaan diserahkan oleh Pengarah Bekalan Elektrik MUTS Muhammad Randi Abdullah kepada Naib Canselor UTS Prof Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid.
Julaihi berkata Sarawak kini telah mengorak langkah dalam membangunkan loji janakuasa solar terapung, termasuk kemudahan berkapasiti 50 MW di Empangan Batang Ai yang mula beroperasi pada Disember.
“Loji ini hanya menggunakan tiga peratus permukaan empangan dan berpotensi diperluas ke kawasan lain seperti Murum dan Bakun. Kita juga sudah kenal pasti beberapa pelabur yang berminat,” katanya.
Beliau berkata kerjasama antara UTS dan Entera Technology Academy merupakan langkah proaktif serta strategik memandangkan permintaan terhadap juruteknik dan jurutera mahir dalam bidang reka bentuk serta pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) akan terus meningkat
“Latihan tenaga mahir penting bagi membangunkan keseluruhan ekosistem TBB di seluruh Sarawak,” katanya.
Julaihi berkata inisiatif itu juga menyokong pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, yang meletakkan TBB sebagai sektor pemacu ke arah menjadikan Sarawak sebuah ekonomi berpendapatan tinggi.
“Dengan potensi besar dalam tenaga hijau, Sarawak berada pada landasan tepat untuk menjadi hab tenaga hijau rantau ini dan menyumbang kepada aspirasi Malaysia sebagai ‘Bateri ASEAN’,” katanya.
-- BERNAMA