KUALA TERENGGANU, 30 Jun (Bernama) -- Bekas juruukur bahan di Majlis Perbandaran Dungun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan kontrak bernilai RM150,000, enam tahun lepas.
Mohammad Hanif Ahmad, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Lelaki itu didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Jawatankuasa Penilaian Tender dan Sebutharga (Kerja) dengan mengesyorkan Perniagaan Yusha Timur milik ibu bapanya Noriah Mamat dan Ahmad Ibrahim kepada Lembaga Sebutharga Majlis Perbandaran Dungun bagi satu projek bernilai RM150,000.
Projek berkenaan melibatkan kerja membina dan menyiapkan Pusat Pemeliharaan Kucing Terbiar di Taman Rimba Bandar Bukit Bauk, dan kontrak berkenaan dianugerahkan kepada syarikat tersebut dalam mesyuarat Jawatankuasa Sebutharga Majlis Perbandaran Dungun kali ke-2/2019 pada 9 Mei 2019.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara April dan Mei 2019 di pejabat Majlis Perbandaran Dungun.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee dan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Raihan Mohd Yusof manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat lain iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM terdekat.
Mahkamah menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
-- BERNAMA