KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Kedudukan mudah tunai sistem perbankan kekal kukuh pada Mei untuk menyokong pengantaraan kewangan, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam laporan Sorotan Bulanan bagi Mei, bank pusat itu berkata sistem perbankan mengekalkan penampan mudah tunai yang teguh, dengan nisbah liputan mudah tunai sebanyak 150.4 peratus (April 2025: 156.1 peratus).
“Agregat nisbah pinjaman kepada dana meningkat sedikit kepada 83.6 peratus (April 2025: 83.3 peratus) didorong oleh pertumbuhan pinjaman yang berterusan,” katanya.
BNM juga berkata kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh
“Nisbah pinjaman terjejas kasar meningkat sedikit kepada 1.5 peratus pada Mei (April 2025: 1.4 peratus), namun nisbah pinjaman terjejas bersih kekal stabil pada 0.9 peratus.
“Nisbah perlindungan kerugian pinjaman termasuk rizab pengawalseliaan kekal berhemat pada 128.9 peratus daripada pinjaman terjejas kasar (April 2025: 131.1 peratus),” katanya.
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan juga kekal berterusan.
BNM berkata kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.4 peratus pada Mei, tidak berubah daripada April, susulan pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul yang lebih tinggi (5.0 peratus; April 2025: 4.4 peratus), manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul menjadi sederhana (4.7 peratus; April 2025: 5.5 peratus).
“Pertumbuhan pinjaman perniagaan meningkat kepada 5.0 peratus (April 2025: 4.4 peratus) disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih tinggi, khususnya dalam kalangan bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), manakala pertumbuhan pinjaman berkaitan pelaburan-pelaburan mampan merentas segmen.
“Pertumbuhan pinjaman isi rumah pula kekal stabil pada 6.0 peratus (April 2025: 6.0 peratus) berikutan pertumbuhan yang berterusan merentas kebanyakan tujuan pinjaman,” kata BNM.
Sementara itu, BNM berkata pasaran kewangan domestik terus dipengaruhi terutamanya oleh perkembangan berkaitan tarif Amerika Syarikat (AS).
“Keadaan kewangan global menjadi reda pada Mei susulan pengumuman penangguhan tarif selama 90 hari oleh pentadbiran AS. Bagaimanapun, pelabur kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan yang berlanjutan berhubung dengan perkembangan tarif dan risiko ekonomi global menjadi perlahan,” katanya.
BNM juga melaporkan kedua-dua inflasi keseluruhan dan inflasi teras lebih rendah pada Mei.
“Inflasi keseluruhan menurun kepada 1.2 peratus (April 2025: 1.4 peratus), manakala inflasi teras menjadi sederhana kepada 1.8 peratus (April 2025: 2.0 peratus),” katanya.
Penurunan inflasi keseluruhan sebahagian besarnya didorong oleh beberapa barangan bukan teras terpilih termasuk sayur-sayuran segar dan petrol, sejajar dengan harga komoditi yang lebih rendah.
Bagi inflasi teras, penurunan sebahagian besarnya didorong oleh inflasi yang lebih rendah untuk perkhidmatan sewaan dan penstriman.
Mengenai pengeluaran perkilangan, ia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.6 peratus pada April (Mac 2025: 4.0 peratus), kata bank pusat itu.
“Kelompok berorientasikan eksport berkembang sebanyak 6.4 peratus pada April (Mac 2025: 4.8 peratus), disokong oleh pengeluaran elektrik dan elektronik yang lebih tinggi, serta barangan berkaitan pengguna seperti sayur-sayuran, minyak dan lemak haiwan,” kata BNM.
-- BERNAMA