AM

42 NADI BEROPERASI DI PULAU PINANG - FAHMI

30/06/2025 08:20 PM

BUKIT MERTAJAM, 30 Jun (Bernama) -- Empat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) baharu telah dibangunkan di Parlimen Permatang Pauh, menjadikan keseluruhan 42 pusat itu beroperasi di Pulau Pinang setakat ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata dua daripadanya terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti manakala masing-masing satu di Seberang Jaya dan Pematang Pasir.

“Tiga daripada NADI ini beroperasi sejak Mei 2024 manakala di Kubang Semang dibuka pada Disember. Ini sebahagian daripada pelaksanaan dasar 1 DUN 1 NADI seperti yang diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada sidang media selepas melawat NADI Kubang Semang di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan.  

Fahmi berkata sebelum ini hanya tiga NADI beroperasi di Pulau Mutiara dan beliau percaya inisiatif berkenaan mampu memanfaatkan penduduk setempat khususnya menerusi program seperti eKELAS oleh Maxis dan latihan keusahawanan.

Beliau berkata melalui program keusahawanan, produk tempatan dapat dikenal pasti dan dipasarkan lebih meluas hingga Kuala Lumpur dan Singapura selain platform jualan dalam talian.

Terdahulu, Fahmi turun pandang memantau ujian kualiti liputan telekomunikasi menggunakan aplikasi MCMC Nexus dengan menaiki bas dari Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth ke NADI Kubang Semang.

Mengulas tahap capaian Internet, beliau berkata purata kelajuan di laluan itu memuaskan dan mencapai kira-kira 90 hingga lebih 100 Mbps untuk muat turun, manakala muat naik antara 20 hingga 30 Mbps.

Bagaimanapun, beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan untuk menggunakan data daripada aplikasi Nexus bagi mengenal pasti kawasan yang masih mempunyai kekangan dari segi capaian atau liputan.

“Aplikasi Nexus membolehkan orang ramai membuat penilaian sendiri terhadap kualiti Internet melalui ujian kelajuan. Berdasarkan data itu, kita boleh ambil tindakan terhadap syarikat telekomunikasi yang berkaitan,” katanya.

Fahmi kemudian menghadiri program Sembang Santai bersama Komuniti MADANI Daerah Seberang Perai Tengah di Dewan Yayasan Aman.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan