JOHOR BAHRU, 30 Jun (Bernama) -- Pasaran hartanah Johor dijangka memasuki fasa pertumbuhan baharu susulan pemeteraian perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan pembangunan berterusan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.
Dalam kenyataan pada Isnin, syarikat perkhidmatan hartanah Nawawie Tie menjelaskan permintaan hartanah kediaman dijangka meningkat secara beransur-ansur terutama dalam pasaran sewaan.
“Permintaan hartanah kediaman di Johor dipacu oleh penduduk tempatan, rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, serta rakyat Singapura, dan JS-SEZ dijangka menarik minat pelabur asing dengan lebih tinggi.
“Walaupun permintaan kediaman dijangka meningkat secara progresif, pembeli rumah untuk diduduki mungkin kekal berhati-hati sehingga terdapat lebih kejelasan mengenai dasar sokongan dan pembangunan infrastruktur,” menurutnya.
Hartanah bertanah kekal menjadi pilihan utama pembeli, merangkumi 65 peratus daripada jumlah transaksi di Johor, manakala daerah Johor Bahru menyumbang 60 peratus kepada jumlah tersebut.
Sementara itu, pasaran hartanah industri di daerah Johor Bahru diunjurkan berkembang pesat, dipacu oleh peluasan sektor pembuatan dan peningkatan pelaburan langsung asing (FDI).
Johor juga muncul sebagai hab serantau utama bagi pusat data, yang seterusnya meningkatkan permintaan terhadap hartanah industri.
Pada suku pertama tahun ini, sebanyak 353 unit kediaman telah dijual di Johor, dengan rumah teres dan berkembar menjadi jumlah yang paling tinggi.
Johor Bahru kekal sebagai lokasi pilihan pemain industri, menyumbang kira-kira 57 peratus kepada transaksi negeri.
“Aktiviti runcit di Johor, terutama di Johor Bahru, menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa dan pengukuhan mata wang dolar Singapura.
“Faktor ini telah merangsang aktiviti beli-belah dalam kalangan pengunjung dari Singapura. Bekalan pusat beli-belah berkualiti tinggi yang terhad dijangka menyokong kadar penghunian yang lebih tinggi di pusat runcit yang sedia ada.
“Di Johor, kadar penghunian purata ialah 72.8 peratus pada suku keempat 2024 berbanding 72.9 peratus pada suku pertama 2025. Tiada pembangunan runcit baharu direkodkan dalam tempoh ini.
“Di daerah Johor Bahru, kadar penghunian purata kekal pada 72.4 peratus pada suku pertama 2025,” menurutnya.
RTS Link yang dijangka siap menjelang akhir 2026 dijangka meningkatkan hubungan rentas sempadan dan mengukuhkan lagi kedudukan Johor Bahru sebagai destinasi pejabat serantau.
“Kadar penghunian ruang pejabat di daerah Johor Bahru adalah kira-kira 57 peratus, tidak termasuk ruang pejabat milik kerajaan,” jelasnya.
-- BERNAMA