TANAH MERAH, 1 Julai (Bernama) -- Seorang remaja lelaki orang kurang upaya (intelektual) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas, 19 Jun lepas.
Tuan Mohamad Izmal Firdaus Tuan Muda, 18, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tun Faez Fikhrie, namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa membunuh Shamsudin Mohamed, 60, di tepi jalan sebelah kedai runcit, Kampung Buluh, Gual Ipoh di sini antara 6 dan 6.30 petang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan minimum 12 sebatan, jika disabitkan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan tiada sebarang jaminan ditawarkan.
Mahkamah menetapkan 2 Sept depan untuk sebutan semula kes berkenaan.
-- BERNAMA