KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) pada Selasa melancarkan Kajian Tematik mengenai Hak untuk Keamanan, menandakan pencapaian penting dalam usaha ASEAN melangkah ke arah pelaksanaan pendekatan berteraskan hak asasi manusia dalam agenda keamanan.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan kajian itu turut menyediakan syor dasar penting bagi menyokong inisiatif ASEAN dalam menghormati hak asasi manusia dan melaksanakan amalan yang dapat menjamin keamanan serta keselamatan serantau selaras dengan Visi Komuniti ASEAN 2025.
Kajian itu turut menegaskan bahawa hak untuk keamanan merupakan hak asasi manusia yang fundamental serta penting untuk pembangunan mampan, maruah manusia dan menikmati semua hak asasi lain.
Ketika berucap pada majlis pelancaran kajian itu, Wakil Malaysia ke AICHR merangkap Pengerusi AICHR 2025, Edmund Bon Tai Soon, memuji kajian berkenaan dan menyifatkannya sebagai pemangkin tindakan yang memperkukuh komitmen meluas ASEAN terhadap keamanan dan penghormatan hak asasi manusia.
“Kajian tematik ini amat penting kerana masih banyak isu dan konflik serantau yang berlaku di ASEAN dan juga di peringkat global.
Isu konflik yang melimpah sehingga menjadi isu serantau tidak boleh sentiasa dianggap sebagai hal ehwal dalaman negara anggota ASEAN. Hal ini tercermin dalam Visi Komuniti ASEAN 2045 dan inisiatif ASEAN dalam pencegahan konflik serta perlindungan orang awam dan hak asasi manusia.
Kita melihat isu di luar rantau seperti Gaza, dan dalam rantau kita sendiri masih terdapat konflik situasi yang sedang berlaku dan ASEAN sedang berusaha untuk menangani serta memperbaiki keadaan,” katanya.
Sementara itu, AICHR akan menganjurkan Program Latihan Serantau AICHR mengenai Hak Asasi Manusia sebanyak enam siri bermula 2 Julai bagi membina keupayaan pegawai ASEAN dalam pencegahan konflik dan mempromosi keamanan mampan melalui penerapan prinsip hak asasi manusia secara praktikal.
Program bertajuk “Bengkel mengenai Persilangan Antara Konflik dan Hak Asasi Manusia: Laluan dan Pendekatan Keamanan di ASEAN” turut bertujuan memperkukuh keupayaan kolektif ASEAN dalam melaksanakan strategi membina keamanan secara proaktif.
Kedua-dua inisiatif ini mencerminkan kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam melaksanakan agenda keterangkuman dan kelestarian, sambil menyokong keutamaan strategik ASEAN untuk memperkukuh keamanan serantau, memperkasakan multilateralisme serta membina Komuniti ASEAN yang berdaya tahan, aktif dan berpaksikan rakyat.
-- BERNAMA