JENAYAH & MAHKAMAH

KASTAM PULAU PINANG RAMPAS ROKOK, MINUMAN KERAS BERNILAI RM2.67 JUTA

02/07/2025 01:11 PM

BUTTERWORTH, 2 Julai (Bernama) -- Kastam Pulau Pinang menahan dua lelaki dan merampas pelbagai rokok serta minuman keras bernilai RM2.67 juta dalam serbuan berasingan, baru-baru ini.

Pengarah Kastam Pulau Pinang Rohaizad Ali berkata dalam kes pertama, sepasukan pegawai kastam dari Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori yang diparkir di sebuah taman perumahan di Bukit Mertajam pada 6 Mei lepas.

"Kami turut menahan dua lelaki berusia 20-an dan 30-an yang berada tidak jauh dari lokasi lori itu diparkir dan mereka ialah pemandu serta kelindan lori berkenaan, hasil pemeriksaan terhadap lori berkenaan pihak kami menemukan rokok putih dan rokok kretek disyaki tidak berkastam.

"Rokok yang dirampas ialah 1.32 batang rokok putih dan rokok kretek bernilai RM431,504 dan jumlah cukai keseluruhan mencecah RM1.34 juta, siasatan mendapati semua rokok itu dibawa masuk dari negara jiran untuk dipasarkan di negeri-negeri utara," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Rohaizad berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan sindiket penyeludupan rokok itu yang dipercayai mempunyai rangkaian di luar negara bagi menjalankan kegiatan berkenaan.

Untuk kes kedua, beliau berkata pihaknya menyerbu sebuah rumah di taman perumahan di Butterworth pada 9 Mei lepas dan merampas pelbagai minuman keras bernilai RM236,737.20 dan jumlah cukai keseluruhan sebanyak RM663,027.03.

"Semasa serbuan itu tiada sesiapa di rumah. Pasukan kami memecahkan pintu rumah itu yang berkunci sebelum menemukan pelbagai jenis minuman keras, iaitu 15,288 tin bir dan 13,820 botol liquor," katanya.

Berdasarkan siasatan pemilik rumah itu mendakwa dia menyewakan rumah berkenaan kepada seorang individu dan pihak kastam sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes itu.

Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan